Yana kini kembali dengan sebuah lagi karya berjudul Your Loss.

KUALA LUMPUR – Biar pun baru menceburi industri muzik tempatan sejak beberapa tahun ini, Shalma Eliana sentiasa mencuri perhatian.

Ramai tertarik dengan imej serta gaya muziknya yang luar biasa.

Mempertaruhkan bunyi yang lebih segar untuk dunia muzik tempatan dan serantau, dia kembali dengan sebuah lagi karya berjudul Your Loss.

Lagu itu juga memberi peluang untuk dirinya menjenamakan semula nama pentasnya menjadi Yana.

“Saya anggap Your Loss sebagai permulaan kerjaya saya. Permulaan yang baharu kerana lagu ini ditulis sepenuhnya oleh saya sendiri secara 100 peratus.

“Saya tidak pernah yakin untuk berkongsi karya nukilan sendiri dengan pihak umum sebelum ini. Lagi pun, lagu ini ditulis di tempat yang paling murni dan tulen iaitu di rumah saya sendiri.

“Dan di rumah semua orang memanggil saya Yana. Oleh kerana itu Yana adalah diri saya yang sejati. Sebab itu saya memilih nama Yana,” jelasnya.

Your Loss menceritakan tentang sesuatu yang dapat difahami oleh ramai orang kerana memberi fokus kepada tema pengkhianatan.

Yana yang berusia 21 tahun itu juga mengingatkan semua pendengar pengkhianatan tidak seharusnya menjadi punca kegagalan seseorang dan kita tidak harus merasa rugi jika ada yang gagal menghargai diri kita.

Yana sebelum ini dikenali Shalma Eliana.

Tambahnya, karya itu turut mengingatkan semua orang untuk menjadi versi terbaik diri masing-masingdan kehidupaninisebenarnya adalah satu proses pembelajaran.

Berbeza dengan karya-karyanya sebelum ini yang lebih menjurus kepada irama rancak dan tarian, Your Loss adalah sebuah balada pop yang sarat dengan mainan emosi.

“Alhamdulillah, proses menulis lagu ini berjalan dengan lancar. Saya masih ingat saat saya pulang ke rumah dengan pelbagai emosi dan terus menulis lagu ini kemudian menyanyikannya dengan serta-merta.

“Ada beberapa bait lirik yang saya tulis sewaktu pergi berkhemah. Ia lagu yang tak dijangka. Terjadi begitu sahaja,” jelasnnya.

Yana juga menambah bahawa dia mengambil masa untuk merakam lagu ini dan dibantu oleh Izzy, Shae serta Imar sepanjang proses.

Walaupun ini kali pertama bekerja dengan mereka, dia benar-benar menikmati proses tersebut.

“Kami semua mempunyai visi yang sama sewaktu fasa perancangan, dan segalanya tersusun dengan baik. Semua orang tahu apa yang saya mahukan. Secara keseluruhan, sangat senang untuk bekerja dengan mereka yang komited dan memahami diri kita,” tambahnya lagi.

Lagu itu juga bakal menampilkan sebuah klip video yang akan diumumkan tidak lama lagi di mana proses rakamannya berjalan dengan sangat lancar.

“Proses rakaman video mengambil masa sehari untuk selesai. Kami bermula pukul 7 pagi dan selesai jam 12 tengah malam. Ia ada semua yang kami rancangkan dan saya rasa ia sangat luarbiasa diberi peluang meluahkan perasaan melalui lagu ini,” jelasnya .

Sementara itu, Your Loss kini  tersedia di semua platform pentriman digital bermula manakala video muziknya pula ditayangkan di saluran YouTube Universal Music Malysia. – MalaysiaGazette