Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafaaton Abu Bakar mengadakan sidang media kejayaan menumpaskan Geng Yuva aktif samun, pecah rumah dan curi kenderaan di kawasan Sungai Buloh dalam Ops Kuang yang dilancarkan pada 28 November hingga 3 Disember lalu.

SUNGAI BULOH – Kumpulan Geng Yuva yang melakukan jenayah samun termasuk di klinik kesihatan menggunakan kenderaan curi akhirnya tersungkur di tangan polis.

Tiga suspek lelaki disyaki ahli geng berkenaan yang baru bebas dari penjara pada Oktober didapati kembali aktif dalam kegiatan jenayah samun tetapi tidak dapat bertahan lama apabila dicekup pihak berkuasa.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa’aton Abu Bakar berkata, kesemua mereka ditumpaskan  dalam satu Operasi Khas Kuang.

Dalam kes pertama, polis menerima aduan dari seorang peniaga berusia 32 tahun pada 13 November lalu mengenai kejadian samun di kedai runcitnya di Apartmen Impian Indah.

“Hasil semakan pada kamera litar tertutup (CCTV) milik peniaga itu mendapati seorang lelaki menaiki kereta Proton Wira masuk ke dalam kedai dan menyamar sebagai pelanggan dengan membeli botol minuman ringan dan beredar kemudian kembali semula dengan menyembunyikan parang dalam jaket dengan memakai topi keledar.

“Suspek kemudian mengacukan parang kepada kawan pengadu dan membawa mangsa ke kaunter sebelum suspek membuka laci kaunter dan mengambil wang tunai RM350 sebelum melarikan diri,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Dalam kejadian kedua, Shafa’aton berkata, polis menerima aduan dari penolong pegawai perubatan Klinik Kesihatan Kuang berusia 32 tahun pada 20 November lalu  yang mendapati pintu belakang bangunan klinik terbuka sebelum hasil pemeriksaan mendapati ada kesan umpil pada pintunya.

Hasil pemeriksaan pengadu mendapati seunit monitor, seunit CPU jenama HP, seunit alat pencetak serta seunit televisyen jenama Sharp 32 inci telah hilang disyaki dicuri bernilai anggaran RM4,000.

Seterusnya dalam kes ketiga pada 11 November lalu pula, seorang mekanik bengkel kereta berusia 23 tahun telah meletakkan kereta Proton Wira Aeroback milik syarikatnya di tempat letak kereta di luar apartmen Merak di Jalan Uranus Seksyen U5 Shah Alam dalam keadaan berkunci.

“Bagaimanapun pengadu terkejut selepas mendapati kenderaan itu hilang di tempat letak kereta itu pada keesokan harinya pada dan anggaran kerugian RM6,000.

“Bertindak atas tiga insiden samun, pecah rumah dan curi kenderaan dan laporan polis dari pengadu yang terjejas, polis Sungai Buloh pada 28 November hingga 3 Disember lalu telah melakukan tiga serbuan dan tangkapan di jalan Susur 1, Taman Sri Hijau Rawang, hadapan kedai runcit Jalan Besar Kuang dan Taman Sri Putra Kuang sebelum menangkap tiga ahli Geng Yuva yang berusia antara 24 hingga 32 tahun.

“Hasil tangkapan polis berjaya merampas sebuah kereta Wira Aeroback yang telah diubahsuai di tempat suis kereta, sebuah beg  berwarna hitam, sebuah tablet jenama Acer, dua telefon bimbit berjenama, televisyen, monitor komputer mesin pencetak, pemutar skru, spanar, playar, pemotong besi, tukul besi dan sebuah tool box disyaki digunakan untuk kegiatan jenayah,” ujarnya.

Kesemua suspek masih direman sehingga hari ini mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan sedang disiasat di bawah Seksyen 395 dan397 Kanun Keseksaan kerana samun, Seksyen 457  kerana pecah rumah dan Seksyen 379 A kerana mencuri kenderaan dan dua daripadanya disambung reman sehingga Ahad ini.

Selain itu, katanya, tangkapan tiga suspek berkenaan membantu polis menyelesaikan 10 kes samun, pecah rumah dan curi kenderaan membabitkan Geng Yuva sekitar Kuang, Kundang, Kampung Baru Subang dan Sungai Buloh.

Ujar beliau, modus operandi sindiket berkenaan adalah menyamar sebagai pelanggan dan menyamun mangsa dengan menyasarkan kedai runcit dan rumah untuk pecah masuk selain menggunakan kenderaan curi untuk melakukan jenayah.

Sementara barangan yang disamun akan dijual dan hasilnya dikongsi sesama ahli kumpulan.

“Hasil semakan rekod jenayah mendapati suspek pertama dan kedua masing-masing mempunyai tujuh rekod jenayah lampau membabitkan curi kenderaan samun dan khianat serta ugutan jenayah, penipuan dan dadah manakala suspek ketiga mempunyai lapan rekod jenayah lampau samun dan dadah.

“Suspek ketiga telah diserahkan kepada IPD Tampin Negeri Sembilan kerana suspek masih dikehendaki kes langgar syarat sekatan (Akta Pencegahan Jenayah- POCA),” tegasnya.-MalaysiaGazette