Saarani Mohamad

IPOH – Kerajaan Negeri Perak hari ini meneruskan diskaun premium tanah pajakan kampung.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri telah menetapkan kadar premium dengan diskaun 80 peratus kepada pemilik terakhir kampung kampung baru dan 75 peratus kepada waris pemilik terakhir tanah yang memohon pembaharuan.

“Daripada penetapan ini, kadar premium yang dikenakan adalah munasabah dengan diskaun yang diberikan.

“Bagaimanapun, Kerajaan Negeri bersedia untuk menimbangkan permohonan rayuan pengurangan premium kepada individu yang benar-benar layak dan memerlukan seperti mana yang digariskan dalam Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Negeri Perak Bil.3/2020,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan lisan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari.

Abdul Aziz bertanya sama ada kadar premium tanah pajakan kampung kampung baru dan pemilikan sementara (TOL) telah disemak dan dinaikkan atau dikekalkan.

Untuk rekod, Perak mempunyai 160 buah Kampung Baru yang wujud sejak zaman darurat sekitar tahun 1950 lagi.

Pada 2018 lalu, kerajaan negeri telah meluluskan kesemua permohonan pembaharuan tempoh pajakan tanah kepada semua pemohon, termasuk penduduk Kampung Baru.

Pemohon hanya perlu membayar premium serendah RM6,000 hingga RM12,000 mengikut keluasan dan lokasi tanah berbanding kadar RM30,000 hingga RM60,000 jika tanpa diskaun. – MalaysiaGazette