Asyraf Wajdi Dusuki Petronas
Asyraf Wajdi Dusuki

KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO Malaysia memandang serius jawapan Parlimen Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang mendakwa Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz yang melantik syarikat Digital Nasional Berhad (DNB) yang tiada pengalaman dan infrastruktur untuk mengendalikan teknologi 5G dengan kos mencecah RM11 billion.

Ketuanya, Datuk Asyraf Wajdi Dasuki mempersoalkan bagaimana proses perlantikan sebuah syarikat yang tidak berpengalaman boleh dibuat tanpa perbincangan dengan pihak Kementerian yang bertanggungjawab memastikan kesempurnaan pembangunan teknologi 5G.

Bagaimanakah proses penilaian dan tender dibuat apabila melibatkan peruntukan sebesar RM11 billion, soal beliau lagi.

“Dikhabarkan kos pada mulanya adalah RM7.5 billion sebelum Menteri Kewangan mengatakan peningkatan kos meningkat kepada RM11 billion.

“Ketua Pegawai Eksekutif CEO DNB pula dilaporkan mendakwa kos adalah RM16.5 billion dan boleh meningkat sehingga RM20 billion.

”Dengan peruntukan sebesar itu dan pastinya juga melibatkan wang rakyat, maka sudah tentu jawapan tuntas wajib dikeluarkan segera oleh Menteri Kewangan,” tegas beliau.

Penjelasan dari Tengku Zafrul itu bagi mengelakkan sebarang kemungkinan berlakunya apa jua bentuk penyelewengan dan ketirisan dalam menyediakan kemudahan teknologi 5G kepada rakyat dengan peruntukan yang besar.

Asyraf berkata, rakyat hari ini mendambakan segala projek yang diluluskan demi kepentingan rakyat wajib dibuat mengikut prinsip ketelusan dan tadbir urus yang baik, bebas daripada sebarang bentuk penyimpangan dan penyelewengan, demi memastikan manfaatnya bukan sahaja kembali kepada rakyat.

Tetapi juga tidak sesekali mempersia-siakan setiap sen wang rakyat yang dibelanjakan, ujarnya. – MalaysiaGazette

DNB dilantik MOF bukan KKMM – Zahidi