Loji Rintis Makanan Haiwan milik MPOB yang terletak di Stesen Penyelidikan MPOB Keratong, Pahang.

KUALA LUMPUR – Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mempelawa pengeluar pelet makanan haiwan untuk menguji formulasi produk mereka di Loji Rintis Makanan Haiwan yang terletak di Stesen Penyelidikan MPOB Keratong, Pahang.

Ketua Pengarah Datuk Dr. Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, sesi latihan secara teori serta amali bagi pembuatan pelet makanan haiwan ternakan telah dijalankan kepada penggiat industri makanan ternakan dan penternak tempatan sejak loji rintis itu ditubuhkan pada 2015.

”Ramai penggiat industri makanan ternakan tempatan telah menghubungi MPOB untuk mendapatkan perkhidmatan bagi penghasilan pelet menggunakan fasiliti loji rintis tersebut untuk menguji formulasi makanan ternakan pada pengeluaran berskala kecil,” katanya.

Penternak perlu menyediakan nutrien yang seimbang kepada haiwan ternakan bagi memastikan pertumbuhan ternakan yang optimum. Setiap nutrien termasuk protein, asid amino, minyak, serat, tenaga, mineral dan vitamin memainkan peranan tertentu dalam pertumbuhan, pengeluaran atau metabolisme ternakan.

Tambah beliau, memenuhi keperluan pemakanan ternakan adalah amat penting dalam mengekalkan prestasi bagi haiwan pada peringkat neonatal (baru lahir), tumbesaran dan pembiakan.

Menurutnya, kemudahan perkhidmatan yang ditawarkan di Loji Rintis Makanan Haiwan ini bertujuan membantu penternak dan pengeluar pelet makanan ternakan untuk menguji dan mengoptimumkan formulasi yang dibangunkan dengan menyediakan sampel pelet makanan ternakan tersebut.

Loji rintis ini mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 100 kg pelet makanan ternakan sejam, atau kira-kira 1 tan pelet makanan ternakan sehari bagi tujuan percubaan dan penyelidikan.

“Kami sangat aktif dalam mengenal pasti produk sampingan berasaskan sawit yang sesuai untuk digunakan dalam pembangunan formulasi makanan haiwan bagi menggantikan bahan mentah yang diimport,” kata Ahmad Parveez.

MPOB telah menjalankan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi menghasilkan dan mengoptimumkan formulasi makanan haiwan ternakan berasaskan sawit untuk pelbagai jenis ternakan seperti ayam pedaging, ayam penelur, lembu pedaging, kambing pedaging dan ikan air tawar di Loji Rintis Makanan Haiwan sejak ia ditubuhkan.

”Pelet makanan haiwan yang dihasilkan di loji rintis diuji melalui ujian pemberian makanan kepada spesis ternakan tertentu di kemudahan penyelidikan yang terdapat di MPOB Keratong, Pahang, bertujuan untuk pengumpulan dan analisis data,” ujar beliau.

Menurutnya, pelet makanan haiwan mempunyai beberapa kebaikan termasuk mengelakkan haiwan daripada memilih jenis bahan makanan, sekali gus memastikan haiwan ternakan menerima diet seimbang di samping dapat meminimumkan pembaziran.

Selain itu, makanan ternakan dalam bentuk pelet lebih mudah dikendalikan oleh penternak dan pengilang berbanding dengan makanan ternakan dalam bentuk hancur serta dapat mengurangkan habuk.

Makanan haiwan dalam bentuk pelet boleh meningkatkan prestasi haiwan dengan menambah baik jumlah pengambilan makanan dan seterusnya peningkatan berat badan akhir ternakan.

“Makanan haiwan dalam bentuk pelet ini juga boleh meningkatkan proses penghadaman ternakan kerana pelet yang dihasilkan telah melalui proses gelatinisasi kanji dalam bahan makanan semasa proses penghasilan pelet tersebut,” tambahnya. – MalaysiaGazette