Pekerja buruh binaan warga asing beratur bagi membuat saringan Covid-19 yang dikelola oleh majikan berikutan Perintah Kawaln Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Jalan Batai, Bukit Damansara. foto AFIQ RAZALI, 09 MEI 2020

KUALA LUMPUR – Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju agar pengambilan pekerja asing dibuka untuk semua sektor, selain daripada sektor perladangan yang telah dipersetujui sebelum ini, kata Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan.

Pengambilan pekerja asing ini akan dibuka untuk sektor yang dibenarkan bagi penggajian pekerja asing iaitu perladangan, pertanian, perkilangan, perkhidmatan, perlombongan dan kuari, pembinaan dan pekhidmat domestik.

”Mesyuarat Jemaah Menteri pada 10 Disember 2021 telah bersetuju untuk saya menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan rakan sejawat saya dari Ministry of Expatriates’ Welfare & Overseas Employment, Republik
Bangladesh bagi pengambilan pekerja Bangladesh di Malaysia.

”Kemasukan pekerja warga Bangladesh ini akan dilaksanakan sejurus MoU tersebut ditandatangani dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini.

Tambah beliau, memandangkan kemasukan pekerja asing ini akan merangkumi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan dan bagi mengelakkan penularan wabak Covid-19, Kementerian Sumber Manusia akan bekerjasama dengan Kementerian
Kesihatan Malaysia serta Majlis Keselamatan Negara untuk memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) kemasukan pekerja asing.

Ini termasuklah dari aspek kuarantin bagi memastikan tiada kompromi dari segi keselamatan dan kesihatan.

Saravanan menambah, selain itu, Mesyuarat Jemaah Menteri hari ini turut bersetuju agar pelaksanaan levi pelbagai peringkat ditangguhkan dari 1 Januari 2022 kepada 1 Julai 2022 untuk tidak membebankan majikan. – MalaysiaGazette