Orang ramai beratur panjang untuk membayar saman polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Warga Lembah Klang ternyata tidak melepaskan peluang ekoran tawaran diskaun saman Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia.

Malah ada yang yang keluar rumah sebelum Subuh bagi merebut peluang diskaun saman sebanyak 80 peratus itu.

Salah seorang daripadanya, Mohd Fazrul Hakim, 27, yang sanggup bertolak daripada Kapar, Klang seawal 5 pagi tadi untuk tiba awal di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) bagi melangsaikan saman tertunggaknya.

Mohd Fazrul Hakim, Foto AFFAN FAUZI, 10 DISEMBER 2021.

Beliau berkata, peluang keemasan itu perlu digunakan sebaiknya kerana dalam masa yang sama ia juga peluang untuk berjimat.

“Kempen ini berguna bagi saya untuk yang golongan tidak manpu jadi boleh bayar saman. Dengan ekonomi sekarang sebab selepas PKP jadi ini masa terbaik untuk melunaskan saman tertunggak,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Begitu juga bagi Mohd Hakimi Mohd Arifin, 21,  yang juga dari Klang.

Mohd Hakimi Mohd Arifin. Foto AFFAN FAUZI, 10 DISEMBER 2021.

Menurutnya, masa pandemik  ramai yang berhadapan dengan masalah kewangan.

Justeru inisiatif kerajaan  sangat bermanfaat kepada rakyat yang terjejas akibat Covid-19.

“Saya tahu daripada media sosial, Facebook, Twitter. Saya nak bayar secara online tak boleh, stuck, tidak boleh log in, sebab itu datang sini bayar.

“Eloklah diskaun bayar saman ini, lagi-lagi dalam waktu pandemik ini. Banyak kerja terjejas banyak kena pakai duit,” ujarnya.

Vijayakumar, 47,  dari Kepong pula berpendirian inisiatif diskaun saman JPJ perlu diadakan setahun sekali bagi membantu rakyat.

Vijayakumar. Foto: AFFAN FAUZI, 10 DISEMBER 2021.

“Semalam saya datang pukul 4 petang tapi tengok ramai daripada hari ini. Terima kasih kepada kerajaan buat diskaun bayar saman. Saya memang suka dan sokong. Buat sekali setahun memang sesuai,” katanya.

Untuk rekod, tawaran diskaun saman JPJ sehingga 80 peratus sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia bermula  9 hingga 12 Disember ini.

JPJ berkata, pengurangan kadar kompaun diberikan kepada semua saman bagi kesalahan disenaraikan di dalam Kaedah-Kaedah Pengangkutan Jalan (Pengkompaunan Kesalahan) 2003.

Dalam masa yang sama, orang ramai yang  disarankan untuk membuat bayaran di luar waktu puncak berikutan kesesakan kepada sistem pembayaran saman secara dalam talian, portal, aplikasi mudah alih MyBayar Saman.- MalaysiaGazette