Hishammuddin Hussien

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak menerima sebarang laporan rasmi tentang ancaman siber yang didakwa daripada kumpulan penggodam China yang mahu menggodam sistem pertahanan negara.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP) dan Pusat Operasi Pertahanan Siber (CDOC) sentiasa proaktif melakukan pemantauan rapi dalam perkara itu untuk memastikan sistem pertahanan negara sentiasa terpelihara dari sebarang ancaman asing.

Katanya, laporan terbabit datang daripada sebuah syarikat keselamatan siber swasta Amerika Syarikat (AS) namun pihaknya tidak boleh bertindak hanya bersandarkan kepada laporan syarikat swasta itu.

“Setakat ini tiada laporan rasmi diterima oleh kami, tetapi perkara itu akan disiasat dan kita mempunyai agensi ditugaskan yang mempunyai kepakaran bagi menentukan kesahihan apa didakwa syarikat siber AS itu,” katanya dalam sidang media khas Pasca 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Wisma Perwira ATM di sini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita selepas portal luar negara melaporkan syarikat keselamatan siber AS dalam satu laporan mendakwa penggodam China  disyaki mempunyai kaitan dengan republik itu menyasarkan organisasi sektor kerajaan dan swasta di seluruh Asia Tenggara terutama negara mengemukakan tuntutan ke atas Laut China Selatan.

Organisasi yang terjejas termasuk Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Pertahanan dan Kementerian Luar di beberapa negara terutama tiga negara di Asia Tenggara iaitu Malaysia, Indonesia dan Vietnam.

Sementara itu, ditanya wujud kemungkinan ancaman terbabit cubaan mengganggu hubungan baik ketiga-tiga negara berkenaan, Hishammuddin bagaimanapun tidak menolak kemungkinan itu, selain faktor geopolitik.

“Apa jua kenyataan dari satu ‘super power’ akan dapat reaksi dari ‘super power’ yang lain dan negara kecil macam kita terpaksa berhadapan dengan tempiasnya.

“Tetapi tugas saya sebagai Menteri Pertahanan adalah melihat kepada keselamatan dan pertahanan kita secara realiti, tidak menari mengikut geopolitik dan pertimbangan pihak tertentu, jauh nak melayani syarikat swasta yang dengan sewenang-wenangnya menyatakan sesuatu,” tegasnya.- MalaysiaGazette