KUALA LUMPUR – Rancangan untuk menahan Datuk Seri Najib Razak semasa bekas perdana menteri itu mempengerusikan mesyuarat Kabinet pada 29 Julai 2015 telah digagalkan sehari sebelumnya.
Rampasan kuasa itu didakwa dirancang oleh Tiga Tan Sri.
Ketiga-tiga Tan Sri itu didakwa melibatkan bekas Gabenor Bank Negara, Tan Sri Zeti Akhtar Aziz, bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Abu Kassim Mohamed.
Pendedahan bekas penasihat komunikasi Najib, Romen Bose dalam buku yang akan berada di pasaran tidak lama lagi, bertajuk Final Reckoning: An Insider’s View of the Fall of Malaysia’s Barisan Nasional Government.
Menurutnya, Zeti dan Gani adalah ahli penting Pasukan Petugas 1MDB yang ditubuhkan untuk menyiasat dakwaan yang dibuat oleh Wall Street Journal dan Sarawak Report mengenai penglibatan Najib dalam 1MDB.
Orang lain yang didakwa terlibat dalam plot itu termasuk Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.
“Dua hari selepas artikel itu muncul (menggunakan dokumen yang didakwa dibocorkan oleh Bank Negara, kamar Peguam Negara dan SPRM), satu mesyuarat rahsia pasukan petugas telah diadakan untuk merancang penyingkiran dan penahanan perdana menteri,” tulis Bose.
“Abu Kassim didakwa mengetuai penahanan itu walaupun pasukan petugas tidak mempunyai bukti kukuh yang menunjukkan kesalahan Najib.Apa yang mereka ada hanya spekulasi semata-mata.
“Draf kertas pertuduhan didakwa dibuat oleh pegawai Abu Kassim, mendakwa Najib telah menerima rasuah RM27 juta berserta pecah amanah jenayah sebagai pertuduhan alternatif. Ini kemudiannya didakwa ditukar kepada penyelewengan jenayah,” tulis Bose dipetik dari laporan FMT hari ini.
Menurut Bose, ia bertentangan dengan konvensyen kerana kebiasaannya polis atau agensi penguatkuasaan lain akan melengkap dan menyerahkan kertas siasatan mereka kepada Peguam Negara untuk memutuskan sama ada pertuduhan akan dirangka atau tidak.
Bose berkata, pegawai kanan polis yang setia kepada komplot itu pula dirancang ditempatkan di Pejabat Perdana Menteri sebelum ketibaan Timbalan Ketua Cawangan Khas Bukit Aman, Tan Sri Abdul Hamid Bador mengiringi Gani ke bilik mesyuarat Kabinet.
Sebaik sahaja Najib tiba, Gani akan menghadap Kabinet dan membacakan pertuduhan terhadap Najib dan mengumumkan penahanannya.
Polis kemudiannya akan mengerumuni bilik Kabinet dan menggari Najib dan mengiringinya ke kenderaan polis.
Muhyiddin kemudiannya akan mempengerusikan mesyuarat Kabinet dan semua menteri dijangka berikrar taat setia kepada beliau sebagai perdana menteri seterusnya, dakwa Bose.
Menurut Bose, apabila beliau memaklumkan kepada Najib mengenai komplot terhadapnya, bekas perdana menteri memberitahu sudah dimaklumkan mengenainya tetapi tidak mengambil tindakan sehingga sehari sebelum rampasan kuasa sepatutnya berlaku.
“Pada Selasa, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Ali Hamsa bertemu Gani di kamar Peguam Negara untuk memaklumkan beliau telah diganti manakala butiran keselamatan Najib diperkukuh dan perdana menteri memaklumkan Muhyiddin dan Shafie bahawa mereka akan diganti dalam rombakan mini Kabinet.
“Dalam satu pagi, beberapa komplot utama yang didakwa telah dineutralkan tanpa sebarang keganasan atau pertumpahan darah, dan rampasan kuasa yang dikatakan dirancang telah digagalkan – gaya Malaysia,” tulisnya.
Sementara itu, dalam masa yang sama, Bose mencabar kerajaan hari ini mengesahkan kesahihan laporan yang didakwa disediakan SPRM ke atas Zeti dan Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.
Menurutnya, sejak 2018, SPRM didakwa menyiasat Zeti dan Nor Mohamed atas penglibatan mereka dalam isu 1MDB dan badan itu dikatakan menyediakan kertas siasatan bertajuk “Laporan Kes AmBank”.
Menurutnya, siasatan berkenaan juga didakwa mendapati ahli keluarga Zeti dan Nor Mohamed menerima wang berkaitan 1MDB yang ‘disorok’ di Singapura.
Pada bulan lalu, SPRM mendedahkan pihaknya berjaya mendapatkan semula kira-kira RM65 juta dana 1MDB daripada sebuah syarikat dikuasai suami Zeti, Tawfiq Ayman.
Ia kemudiannya menimbulkan persoalan kenapa Zeti dan Nor Mohamed tidak dipanggil sebagai saksi pendakwaan dalam perbicaraan SRC International membabitkan Najib bagi membantu siasatan SPRM.
“Adakah SPRM benar-benar menyiasat keluarga Zeti dan Nor Mohamed pada 2018? Saya meminta mereka mengesahkan kesahihan (dakwaan) dalam dokumen itu.
“Jika dokumen itu tulen dan faktanya tepat, saya ingin bertanya apa tindakan yang akan diambil terhadap individu berkenaan?” soal Bose dalam bukunya.
Dalam buku itu, beliau turut mengimbas perbualannya dengan Najib selepas berita mengenai skandal 1MDB dilaporkan.
Beliau mendakwa Najib terkejut dengan keengganan Zeti membuat sebarang komen berhubung RM2.6 bilion dalam akaun bank peribadinya walaupun mengetahui butiran perkara itu.
Dana itu disebut sebagai derma politik daripada kerabat diraja Arab Saudi.
Menurut Bose, Najib memaklumkan Zeti mengenai sumber dana itu dan bekas Gabenor Bank Negara itu memberitahu tidak nampak sebarang isu dengan tindakannya Najib membuka akaun bank untuk menerima wang berkenaan.
Najib mengharapkan Zeti untuk memaklumkannya jika timbul persoalan berhubung kesahihan derma itu, katanya.
Apabila berita berhubung dana itu dilaporkan di media dan pasukan petugas khas mula menyiasat skandal 1MDB, Zeti memberitahunya beliau tidak boleh memberi komen mengenai transaksi berkenaan atas alasan siasatan masih berterusan.
“Najib amat bingung kenapa dia (Zeti) pada mulanya dengan senang hati bersetuju akaun itu dibuka kemudian, tiba-tiba dilihat cuba menjauhkan diri,” tulis Bose yang juga bekas wartawan Al Jazeera dan AFP.
Buku Bose bertajuk Final Reckoning: An Insider’s View of the Fall of Malaysia’s Barisan Nasional Government akan dijual mulai 14 Disember ini di kedai-kedai buku terpilih.- MalaysiaGazette