Gari nasyid singer drug Youtuber murder Penang
Gambar hiasan

KLANG – Mahkamah Majistret di sini hari ini membenarkan dua suspek direman selama tujuh hari sehingga 17 Disember ini bagi membantu siasatan kes tikam sehingga mati seorang warga emas di Kampung Idaman di Klang semalam.

Kedua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Klang kira-kira jam 9.30 pagi dengan diiringi anggota polis Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan.

Menurut Ketua Polis Daerah, ACP Cha Hoong Fong, permohonan perintah reman itu dibuat di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah bagi membolehkan polis menjalankan siasatan berhubung kejadian itu.

“Tempoh tahanan reman bagi kedua-dua suspek ini ialah tujuh hari sehingga 17 Disember ini untuk membantu melengkapkan kertas siasatan polis,” katanya kepada media.

Semalam, media melaporkan, seorang warga emas yang menunggu di depan rumah untuk solat Jumaat di masjid berhampiran ditimpa tragedi apabila ditikam di belakang badan.

Kejadian dilaporkan berlaku pada jam 12.38 tengah hari selepas Pusat Kawalan Ibu Polis Daerah Klang Selatan menerima maklumat mengenai kejadian itu.

Laporan memaklumkan seorang lelaki tempatan dalam keadaan tidak sedarkan diri akibat ditikam di Kampung Idaman, Klang.

Kedua-dua lelaki itu berjaya ditangkap polis kira-kira empat jam selepas kejadian.

Media bagaimanapun, gagal merakamkan proses membawa masuk suspek untuk mendapatkan tempoh reman kerana dilarang memasuki pekarangan Kompleks Mahkamah Klang.

Sebaliknya, media hanya dibenarkan berada di luar pintu masuk ke mahkamah yang terletak lebih 300 meter dari lokasi. – MalaysiaGazette