Abdul Majid bersama Tian Loo yang dilantik salah seorang daripada empat ejen polis pada Program High Profile Policing di Jonker Walk hari ini.

MELAKA – Melaka menjadi negeri pertama melantik ‘ejen polis’ terdiri daripada ahli politik dan pemimpin masyarakat bagi membantu mendidik orang ramai pencegahan jenayah.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, pelantikan mereka juga merupakan projek pertama dilakukan di Malaysia yang akan bermula di negeri itu.

“Keempat-empat tokoh ini akan menjad kita punya ‘ejen’ untuk menjamin keselamatan setempat yang mana saya rasa ini juga pilot projek pertama di Malaysia.

“Jika kaedah ini dapat membantu Melaka daripada segi meningkatkan keamanan dan ketenteraman, kita akan perluaskan konsep ini untuk membantu polis,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Program High Profile Policing di sekitar Bangunan Stadthuys dan Jonker Walk di sini hari ini.

Pada program itu, empat tokoh berkenaan yang dilantik adalah ahli politik, Datuk Gan Tian Loo, Ahli Majlis Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Roger Tan Wei Jian, Timbalan Pengerusi Taman Kota Laksamana, Lim Sze Huat dan Pengerusi Taman Kota Laksamana Loke Chee Koon.

Melalui lantikan itu, Abdul Majid berkata, kesemua tokoh terdiri daripada pelbagai latar belakang akan dilatih menjadi jurucakap yang dapat memperkasakan lagi Program Kepolisan Komuniti Malaysia.

“Duta-duta masyarakat inilah yang akan membantu polis mendidik orang ramai dengan tiga objektif utama supaya kempen mencegah jenayah dalam komuniti dapat diadakan secara berterusan.

“Untuk menjadikannya lebih berkesan, saya juga akan mewujudkan satu kumpulan menggunakan aplikasi Telegram bersama tokoh-tokoh ini yang mana setiap hari kita akan kongsikan tips-tips mencegah jenayah.

“Harapan kita supaya mereka dapat kongsikan pula tips berkenaan di peringkat komuniti selain menggunakan risalah yang akan kita sediakan untuk diedarkan kepada komuniti setempat,” katanya.- MalaysiaGazette