Foto hiasan
KUALA LUMPUR – Walaupun perang dengan wabak belum dimenangi, tetapi pusat-pusat hiburan malam di ibu kota boleh dikatakan “berdangdut” tiap malam.
Apatah bukannya, hanya satu unit siasatan di Kuala Lumpur sahaja telah mengeluarkan kompaun bernilai RM4.2 juta kepada pusat hiburan malam dalam 14 operasi yang dilakukan.

Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur,  Datuk Azman Ayob berkata, daripada 14 operasi yang dijalankan jabatannya dari April hingga Disember, sebanyak 33 pusat hiburan telah disiasat.

Katanya, premis yang dikenakan tindakan termasuk 16 bar, KTV dan pusat hiburan lain yang menerima kompaun RM25,000 masing-masing kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP).
Menurutnya, sebanyak 762 pengunjung juga dikenakan kompaun yang jumlahnya bernilai lebih RM3.81 juta.
“Jumlah kompaun dan operasi yang dijalankan tidak termasuk tindakan yang diambil jabatan lain dalam IPK Kuala Lumpur atau ibu pejabat polis daerah di bawah IPK Kuala Lumpur,” katanya kepada China Press.
Katanya, operasi polis memfokus kepada pelanggaran SOP dan Akta Kawalan Penyakit, khususnya premis hiburan malam yang beroperasi tanpa kebenaran.
Jelasnya, walaupun polis mengeluarkan kompaun, jumlah sebenar denda ditentukan Kementerian Kesihatan. – MalaysiaGazette