Antara kenderaan yang diperiksa menerusi Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal di sekitar ibu negara bermula Jumaat sehingga awal pagi tadi. Foto PDRM

KUALA LUMPUR – Polis menahan 20 individu dengan 15 daripadanya memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Op Samseng Jalanan dan Op Motosikal yang dijalankan di sekitar ibu negara bermula Jumaat sehingga awal pagi tadi.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi dijalankan Unit Penguatkuasaan dan Unit Risikan/Operasi JSPT Kuala Lumpur itu melibatkan kekuatan seramai sembilan pegawai dan 68 anggota di sekitar pusat bandar, Jalan Ipoh, Jalan Raja Laut, Jalan Chow Kit, Lebuhraya Duta – Ulu Kelang dan Lebuhraya Bertingkat Ampang – Kuala Lumpur.

Menurutnya, seramai 15 lelaki berusia lingkungan 21 hingga 55 tahun yang memandu di bawah pengaruh alkohol ditahan mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Polis turut menahan empat lelaki berusia lingkungan 20 hingga 24 tahun kerana menunggang dalam keadaan berbahaya dengan melakukan aksi zig zag, roket, superman dan bersaing antara satu sama lain.

“Kesemua tangkapan ini di bawa ke Balai Polis Trafik Kuala Lumpur dan akan dituduh dibawah Seksyen 42(1) 1987 APJ kerana memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, Sarifudin berkata, seorang lelaki berusia 30 tahun turut ditahan dalam operasi berkenaan kerana melakukan kesalahan di bawah Seksyen 50 (3) akta sama.

Jelas beliau lagi, secara keseluruhan sebanyak 251 jumlah saman dikeluarkan sepanjang operasi berkenaan yang membabitkan pelbagai kesalahan.

“Sebanyak enam buah motosikal telah disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan iaitu ekzos.

“Motosikal yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” ujarnya.

Dalam pada itu, Sarifudin berkata, JSPT Kuala Lumpur akan terus mempertingkatkan operasi pada hujung minggu bagi mencegah dan membanteras sepenuhnya aktiviti samseng jalanan serta menjaga keselamatan pengguna jalan raya.

Katanya lagi, orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau pun mempunyai maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S Lee di talian 03-2071 9999 atau hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03-20260267/69 atau mana- mana balai polis berhampiran. – MalaysiaGazette