Tangkap layar yang dikongsi oleh seorang pengguna laman Twitter memaparkan seorang individu memuat naik sekeping gambar berserta kapsyen yang dianggap keterlaluan oleh warganet.

KUALA LUMPUR – Tindakan seorang pengguna Facebook memuat naik sekeping gambar lelaki sedang mencuci kenderaan berserta kapsyen yang dianggap menghina telah dikecam hebat oleh netizen, semalam.

Paparan tangkap layar itu dipercayai diambil dari Facebook My Axia Owners Club (Maxoc) sebelum ia dikongsi semula oleh seorang pengguna Twitter yang dalam masa sama mempersoal kredibiliti individu dipercayai seorang anggota badan beruniform.

Sementara rata-rata warganet pula meluahkan rasa tidak berpuas hati dengan kapsyen yang dianggap keterlaluan iaitu ‘banduan boleh basuh buat apa basuh sendiri’ sehingga perkongsian tersebut diulang ciap melebihi 9,000 kali.

Dipercayai gambar dan kapsyen berkenaan ditulis oleh seorang individu yang didakwa sebagai seorang kakitangan Jabatan Penjara Malaysia.

“Sebagai warder penjara kau sepatutya jaga etika di media sosial walaupun banduan jangan pandang hina, mana tahu satu hari nanti dia bertaubat dan diterima Allah masa depan dia lagi cerah berbanding kau,” ciap seorang warganet.

Manakala pengguna lain pula merasa kesal dengan tindakan tidak beradab individu terbabit yang dianggap tidak sensitif ketika berkongsi sesuatu perkara di media sosial.

Namun setakat ini, tidak dapat dipastikan masa dan lokasi sebenar gambar tersebut dirakam selain ciapan asal di laman Twitter juga telah pun dipadam. – MalaysiaGazette