Tekong dan nelayan Vietnam dihadapakan ke mahkamah dalam perbicaraan kes menceroboh perairan negara di Kompleks Mahkamah Indera Mahkota, Kuantan semalam.

KUANTAN –  Keputusan Mahkamah Kuantan yang mengenakan denda sebanyak RM12.6 juta terhadap dua tekong bot nelayan Vietnam bersama 30 awak-awak kerana menceroboh perairan negara dengan melakukan aktiviti menangkap ikan secara haram adalah relevan.

Pengarah Maritim Negeri Pahang, Laksamana Pertama Maritim Amran Daud berkata, keputusan mahkamah Jumaat lalu satu kejayaan kepada Maritim Malaysia yang berterusan mengekang pencerobohan nelayan asing Vietnam daripada terus mengaut hasil laut negara.

Katanya, Hakim Siti Aminah Ghazali menetapkan tekong tersebut, Nguyen Tan Sanh, 32 dan 12 awak-awak itu boleh dipenjara dua hingga tiga bulan sekiranya gagal membayar denda.

Seorang tekong bot nelayan Vietnam didenda RM3,000,000 manakala 12 awak-awak didenda RM300,000 setiap seorang oleh Mahkamah Sesyen Kuantan Jumaat lalu.

Kesemua tertuduh dijatuhkan hukuman mengikut Seksyen 15(1) Akta Perikanan 1985 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih RM6 juta membabitkan tekong dan RM600,000 membabitkan awak-awak jika sabit kesalahan.

Mereka yang berusia antara 21 hingga 49 tahun itu didakwa melakukan pencerobohan tersebut pada kedudukan lebih kurang 36 batu nautika tenggara Kuala Pahang, pada 3 Oktober tahun lalu.

“Berdasarkan keterangan kes, bot yang ditahan merupakan bot pembekal kerana ia tidak daftarkan di Malaysia dan membawa bekalan makanan serta hasil laut dalam perairan negara tanpa kebenaran,” katanya menerusi kenyataan.

Sementara itu dalam kes kedua pula, Hakim Mohd Kafli Che Ali menetapkan tekong bot nelayan Vietnam, Pham Chi Dung, 55 didenda RM600,000 manakala 18 awak-awak didenda RM300,000 setiap seorang.

“Jika gagal membayar denda, mereka akan dipenjara antara dua hingga empat bulan. Kesemua tertuduh mengaku bersalah apabila pertuduhan dibacakan terhadap mereka mengikut seksyen yang sama,” katanya.

Terdahulu, bot tersebut ditahan Kapal Tentera Laut Diraja Malaysia di kedudukan lebih kurang 29 batu nautika timur laut Pulau Tioman, pada 5 Jun lalu sebelum kes diserahkan kepada Maritim Negeri Pahang untuk tangkapan semula.

Tambahnya, pihak mahkamah telah memerintahkan kedua-dua bot tersebut dilucut hak kepada Kerajaan Malaysia dan hasil rampasan hasil laut kedua-dua kes tersebut, termasuk bot serta bekalan diesel dianggarkan bernilai hampir RM3.5 juta. – MalaysiaGazette