Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran mengalungkan bunga malai kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung MIC yang ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Presiden Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan ‘Friends of BN’ tidak akan bertanding di kerusi milik MIC pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Sebaliknya, MIC akan tetap bertanding di kerusi-kerusi tradisi mereka tanpa perlu ada kegusaran.

Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO menegaskan, ‘Friends of BN ini akan berperanan untuk membantu calon-calon MIC menang pada PRU nanti.

“Saya akan pastikan di depan semua perwakilan ini, Friends of BN tidak akan bertanding di mana-mana kerusi MIC.

“Kalau mereka bertanding, itu kerusi yang tidak ditandingi oleh MIC malah saya akan pastikan mereka membantu MIC untuk menang nanti. Jangan risau dengan mereka,” ucapnya pada Perhimpunan Agung MIC ke-75 hari ini.

Hari ini, Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran melahirkan kegusaran dengan cadangan untuk memberikan kerusi-kerusi MIC kepada parti mesra BN lain yang turut mewakili masyarakat India pada PRU akan datang.

Malah Vigneswaran tidak akan sesekali berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba bertanding di kerusi tradisi MIC selain mahu pucuk tertinggi BN untuk memberikan kerusi yang boleh menang  pada PRU akan datang.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memberi maklum balas terhadap permintaan Vigneswaran yang mahu semua penyelaras kerusi Parlimen dan DUN di segerakan bagi MIC menggerakan jentera mereka menjelangnya PRU ini.

“Permintaan MIC saya dengar tentang kerusi winnable dan juga tentang pelantikan penyelaras secepat mungkin. Beri saya dua minggu dari sekarang,” ujarnya sambil di ikuti tepukan gemuruh lebih 2,000 perwakilan sebentar tadi.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid meminta MIC untuk mengenepikan perbezaan politik dan isu politik dalaman demi kemenangan besar BN pada pilihan raya.

“Tan Sri Vicky yang saya sudah kenal lebih 23 tahun, saya mohon kepada anda jangan lagi toleh belakang. Kita mara ke hadapan, semua masalah kita depani dengan cekal. Kelak kita akan berada di puncak kuasa yang akhirnya akan memberi kesenangan kepada rakyat. BN perlu jadi dominan semula,” ujarnya.

Namun, Ahmad Zahid turut mengingatkan BN tidak boleh terlalu seronok dengan kemenangan dua pertiga di Melaka kerana komponan itu memerlukan kemenangan luar biasa pada PRU akan datang.

“Sebagai pimpinan poliitk, kita juga perlu berubah gelagat politik. Kita perlu berubah, lebih rendah diri.

“Rakyat benci apabila kita tunjuk kekayaan, tidak peduli dengan akar umbi, rakyat mahu kita tangani isu mereka, harga barang perlu di tangani, moratorium dan banyak lagi. Inilah yang di harapkan oleh rakyat daripada pimpinan BN,” katanya. -MalaysiaGazette