Presiden MIC, Tan Sri S.A Vigneswaran bersalaman bersama Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi pada Perhimpunan Agung MIC yang ke-75 di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 12 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – MIC melahirkan rasa kurang senang dengan kehadiran ‘Friends of BN’ yang dikatakan akan bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU 15) bagi mewakili masyarakat India.

Walaupun tidak akan menentang keputusan pucuk pimpinan tertinggi Barisan Nasional (BN) dalam memberikan peluang parti-parti kecil bertanding namun MIC meletakkan syarat.

Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran berkata, parti itu dak ada masalah kerusi-kerusi Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) diberikan kepada rakan sekutu BN asalkan bukan milik MIC.

“Satu kebenaran yang harus diketahui oleh semua, kemampuan MIC untuk menarik sokongan komuniti kita juga terjejas bukan hanya kerana kita menjadi sasaran politik pihak pembangkang tetapi kita juga menghadapi ‘perang dingin’.

“Melawan musuh di depan mata adalah lebih senang berbanding melawan musuh dalam selimut. ‘Friends of BN’ yang saya maksudkan ini tidak sama sekali membuktikan keupayaan mereka untuk membantu BN dalam PRU akan datang.

“Sebelum ini Yang Berhormat Datuk Seri (Ahmad Zahid) telah umum bahawa salah satu parti dalam Friends of BN akan diberi kerusi bertanding di bawah tiket BN pada PRU dan perkara ini akan dibawa ke Majlis Tertinggi BN untuk diputuskan. 

“Saya difahamkan atas pertimbangan parti-parti tersebut telah setia bersama perjuangan BN sekian lama antara 15 hingga 30 tahun dan wajar diberi kerusi pada PRU akan datang,” ucapnya pada Perhimpunan Agung MIC ke-75 hari ini.

Vigneswaran menambah, MIC sama sekali tidak menafikan kenyataan daripada kalangan kepimpinan BN yang menyatakan MIC bukan satu-satunya parti komuniti India kerana landskap politik berubah.

Tetapi pada masa sama beliau mengakui kurang selesa dengan perkataan Friends of BN kerana ia seharusnya bermaksud kawan kepada parti komponen BN.

Namun, ada parti-parti tertentu ini tidak pernah menganggap MIC sebagai kawan mereka. 

“Tambah pula padatiga PRU sebelum ini, hanya MIC akan dan telah dipersalahkan kerana gagal membawa undi masyarakat India. Kita tidak pernah dengar parti-parti rakan sekutu dengan BN dipersalahkan kerana gagal membawa undi komuniti kita.

“Adalah agak sukar untuk saya menerangkan keadaan ini kepada ahli-ahli parti saya kerana mereka tak dapat melihat kelebihan parti-parti sekutu BN ini selain semangat setiakawan. What do they bring to the table?,” ucapnya pada Perhimpunan Agung MIC ke-75 hari ini.

“Berdasarkan perkembangan terkini, menunjukkan MIC berkeupayaan untuk menyumbang kepada kemenangan seseorang calon atas hujah berlaku perpecahan undi kaum-kaum tertentu. 

“Dengan semua yang diperkatakan sebentar tadi saya ingin menegaskan disini, MIC tiada masalah kerusi diberi kepada rakan-rakan sekutu BN, asalkan kerusi tersebut bukan kerusi MIC,” ujarnya. -MalaysiaGazette