KUALA LUMPUR – Hasrat Malaysia mara ke separuh akhir lebih awal disekat Vietnam, selepas tewas 0-3 pada aksi ketiga Kumpulan B Kejuaraan Piala Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) 2020 di Stadium Bishan, Singapura, malam ini.

Kegagalan menyesuaikan diri dengan cepat terhadap intensiti tinggi permainan menghukum pasukan negara, apabila dibolosi dua gol dalam tempoh empat minit pada pertengahan babak pertama sebelum Vietnam melengkapkan kemenangan dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan.

Keputusan itu sekali gus meleburkan rekod tanpa kalah skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih Tan Cheng Hoe pada kempen itu, selepas merakam kemenangan ke atas Kemboja dan Laos pada dua aksi pertama.

Kekalahan di tangan penyandang juara itu juga menggugat peluang pasukan negara menempatkan diri ke pusingan empat pasukan terbaik, apabila jatuh ke kedudukan ketiga dalam saingan Kumpulan B dengan Vietnam kini di tempat kedua manakala Indonesia sebagai pendahulu.

Ia juga kekalahan keenam Malaysia kepada Vietnam dalam tujuh pertemuan terakhir dan kekalahan kelima buat Cheng Hoe berdepan skuad Naga Emas itu sejak membimbing pasukan negara pada 2017.

Pada aksi tersebut, kegagalan ketua pasukan Mohamad Aidil Zafuan Abd Radzak mengeluarkan bola di udara dengan kemas, nyaris meletakkan Vietnam di depan seawal minit kedua, namun sepakan voli Nguyen Cong Phuong melambung tinggi.

Cong Phuong sekali lagi mencemaskan gawang negara menerusi percubaan jarak dekat pada minit ke-10 yang bijak diselamatkan penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat, sebelum Malaysia menerima tamparan apabila Mohamad Aidil yang mengalami kecederaan di paha terpaksa dibawa keluar pada minit ke-24.

Pemain muda Dominic Tan dibawa masuk untuk digandingkan bersama Shahrul Mohd Saad dan situasi itu dimanfaatkan sepenuhnya Vietnam, bagi meledak gol pembukaan pada minit ke-32 menerusi Nguyen Quang Hai berpunca daripada kesilapan barisan pertahanan.

Selang seminit kemudian, Malaysia memperoleh peluang terbaik menyamakan kedudukan selepas pemain pertahanan Vietnam tertanduk bola ke belakang tepat ke kaki penyerang muda Luqman Hakim Shamsudin yang tidak dikawal, namun rembatan kaki kiri pemain berusia 19 tahun itu jauh tersasar.

Kombinasi kurang baik antara Shahrul dan Dominic sekali lagi menghukum skuad kebangsaan, apabila Nguyen Cong Phuong mudah membuat larian untuk melepasi halangan dua pemain itu sebelum mengacah Dominic, dan melepaskan rembatan kaki kanan menewaskan Khairul Fahmi pada minit ke-36. – Bernama