Home Nasional Presiden Parti Bumi Kenyalang ditahan SPRM

Presiden Parti Bumi Kenyalang ditahan SPRM

KUCHING – Presiden Parti Bumi Kenyalang (PBK) Voon Lee Shan dipercayai ditahan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disoal siasat pagi ini.

Calon Batu Lintang berkongsi dua video di Facebook kira-kira jam 8 pagi, yang mana beliau mendakwa telah diarah berhenti ketika memandu seorang diri di dalam keretanya.

Beliau dilihat diiringi individu yang dipercayai pegawai penguatkuasa dan salah seorang daripada mereka telah menyampaikan notis dan menyuruhnya pergi ke pejabat SPRM untuk siasatan.

Dalam video berikutnya, Voon berkata: “Saya ditahan oleh SPRM. saya keseorangan. Mereka mengambil kunci kereta saya.”

Borneo Post melaporkan, Voon berada di kawasan Taman Kenyalang ketika ditahan.

Pengarah pilihan raya PBK, Raymond Thong mengesahkan Voon berada di ibu pejabat SPRM untuk disoal siasat sejak 8.40 pagi.

“Presiden kami memandu di Taman Kenyalang dari rumahnya apabila dia dihentikan berhampiran Gereja St Faith,” kata Thong.

Beliau juga mendakwa tindakan yang diambil oleh SPRM adalah tidak wajar kerana surat untuk hadir ke SPRM untuk disoal siasat sepatutnya dihantar kepada Voon secara peribadi.

“Mereka (SPRM) sepatutnya menghantar surat itu daripada mengekorinya dan menahannya di tepi jalan. Ini adalah tindakan ugutan yang jelas,” kata Thong.

Beliau juga mendakwa tiada alasan diberikan mengapa Voon dipanggil untuk disoal siasat.

“Melakukan (penahanan) ini enam hari dari hari pengundian mungkin satu cara untuk melemahkan semangat dan mengurangkan kekuatan kempen kami pada hari-hari akan datang,” katanya.

The Borneo Post telah cuba menghubungi Voon tetapi dia tidak dapat dihubungi.

Akhbar itu kini menghubungi SPRM untuk mendapatkan pengesahan. – MalaysiaGazette