Projek Mobile Recycle Bin yang dihasilkan SMK Iskandar Shah.

KUALA LUMPUR – Pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah, Jasin, Melaka muncul sebagai juara pertandingan `DIY Made Simple 2021’
ke-5, anjuran peruncit perkakas rumah kegemaran rakyat Malaysia, MR D.I.Y. Group (M) Bhd (MR D.I.Y) bersama Pusat Komuniti dan Kelestarian Universiti Malaya (UMCares).

DIY Made Simple merupakan pertandingan tahunan yang disokong oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).

Pertandingan ini mengajak para pelajar sekolah menengah untuk mencari cara dan kaedah bagi membaik pulih kemudahan sekolah mereka dengan projek do-it-yourself (DIY) menggunakan bahan kitar semula.

Sekolah yang bergelar juara telah mengalahkan 105 buah sekolah yang lain dari 13 negeri pada pertandingan tahun ini yang bertemakan “Green School – Reimagining Plastic Waste For the 21st Century Classroom”.

Pasukan yang terdiri daripada 10 orang dari Sekolah Menengah Kebangsaan Iskandar Shah membawa pulang hadiah emas berupa wang tunai bernilai RM4,500 untuk projek ‘Mobile Recycle Bin’ mereka.

Kolej Profesional Dungun, Terengganu dan Sekolah Menengah Kebangsaan Ade Putra, Melaka seri di tempat kedua dan memenangi hadiah perak berupa wang tunai bernilai RM3,000 untuk setiap kumpulan.

Selain hadiah wang tunai, piala dan sijil, 5 finalis yang menyertai Peringkat 3 ini turut memenangi baucar MR.D.I.Y. sebanyak RM500, manakala ketiga-tiga pemenang turut memenangi baucar MR.D.I.Y. sebanyak RM1,500.

Pertandingan ‘DIY Made Simple’ tahun ini dilancarkan pada Januari 2021 dalam empat peringkat. 105 pasukan telah mendaftar dan menghantar video mereka ketika peringkat pertama.

Kemudian, sekumpulan juri yang terdiri daripada wakil dari Universiti Malaya (UM), MR D.I.Y., dan KPM menilai semua penyertaan dan menyenarai pendek 28 pasukan untuk pembentangan kertas kerja dalam Peringkat Dua.

Lapan finalis kemudian dipilih untuk Peringkat Tiga di mana pasukan bekerjasama dengan pensyarah dari Fakulti Alam Bina UM untuk menukar idea mereka menjadi realiti dan peringkat empat diumumkan pemenang. – MalaysiaGazette