Seorang kanak-kanak lelaki dilihat berada di belakang sebuah pacuan empat roda berdasarkan sebuah video yang tular. Kredit gambar pengguna Twitter

KUALA LUMPUR – Video memaparkan aksi bahaya seorang kanak-kanak lelaki berdiri di belakang bahagian sebuah pacuan empat roda tular di media sosial sejak petang semalam.

Dipercayai video berdurasi 19 saat itu dirakam oleh seorang pengguna sebelum ia dikongsi di laman Twitter memaparkan seorang kanak-kanak seperti sedang ‘bersantai’ di belakang kenderaan jenis Mitsubishi berkenaan.

Kanak-kanak yang memakai baju berwarna kelabu dan berseluar jeans itu juga sesekali dilihat duduk di bahagian atas kenderaan tanpa menghiraukan kenderaan lain yang turut sama berhenti di persimpangan lampu isyarat.

Video berkenaan telah mengundang pelbagai reaksi daripada warganet yang masing-masing risau tentang keselamatan kanak-kanak lelaki terbabit.

Seorang kanak-kanak lelaki berada di belakang sebuah pacuan empat roda berdasarkan sebuah video yang tular. Kredit gambar pengguna Twitter

Dalam pada itu, pengguna yang memuat naik video berkenaan turut memaklumkan terdapat beberapa kenderaan lain yang bertindak membunyikan hon, namun dipercayai tidak diendahkan oleh pemandu pacuan empat roda itu.

Justeru, beberapa warganet bertindak menanda akaun Polis Diraja Malaysia supaya tindakan lanjut dapat diambil terhadap pemilik kenderaan. – MalaysiaGazette