Maritim Kedah dan Perlis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira 695 kilogram daun ketum

KUALA LUMPUR – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim) Kedah dan Perlis berjaya menggagalkan cubaan menyeludup keluar kira-kira 695 kilogram daun ketum di kedudukan 5.0 batu nautika, timur Pulau Tanjung Dendang, Langkawi, awal pagi semalam.

Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Mohd Zawawi Abdullah berkata, sekitar jam 3.30 pagi pihaknya mengesan sebuah bot disyaki suspek sedang bergerak dalam keadaan gelap dan mencurigakan di sekitar perairan itu.

“Kemudian sebuah bot ronda Maritim Malaysia yang dalam satu rondaan rutin telah diatur gerak ke lokasi untuk serbuan dan pemeriksaan.

“Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, tekong bot berkenaan bertindak memecut laju ke arah perairan sempadan Malaysia-Thailand dan meloloskan diri dengan membuang sejumlah objek ke laut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Maritim Kedah dan Perlis menemui 57 bungkusan plastik hitam yang mencurigakan disyaki daun ketum.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan Maritim ke atas objek yang dibuang membawa kepada penemuan 57 bungkusan plastik hitam yang mencurigakan disyaki daun ketum dianggarkan berat lebih kurang 695 kilogram bernilai RM125,000.

“Kita percaya ia cuba diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut dan harga pasaran tinggi daun ketum ini boleh mencecah sehingga RM180 sekilogram.

“Faktor yang mendorong kepada aktviti ini adalah dengan disokong oleh faktor upah transporter yang lumayan bagi setiap hantaran dianggarkan sekitar RM350 hingga RM800 berdasarkan berat muatan,”

Mohd Zawawi berkata, semua hasil rampasan dibawa ke jeti Maritim Malaysia, Bukit Malut untuk diserahkan kepada pegawai penyiasat bagi tindakan lanjut.

Sehubungan itu, kes akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 kerana penyalahgunaan ketum termasuk mengimport, menjual, memproses dan lain-lain berkaitan bahan tersebut.

Jika disabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda tidak lebih daripada RM10,000.00 atau penjara tidak lebih empat tahun atau kedua-duanya. – MalaysiaGazette