Meenakshi Raman.

GEORGE TOWN – Sahabat Alam Malaysia (SAM) menggesa kerajaan mansuhkan penubuhan ladang monokultur dalam Hutan Simpanan Kekal (HSK) di Semenanjung yang didakwa boleh menyebabkan kemusnahan pada hutan.

Presidennya, R. Meenakshi berkata, konsep ladang itu sebenarnya bercanggah dengan konsep hutan dari segi bahasa dan terminologi yang mana ladang adalah kawasan pertanian secara monokultur berskala besar dipenuhi tanaman manakala hutan asli pula terbentuk secara semula jadi daripada tumbuh-tumbuhan, sekali gus mempunyai kepelbagaian hayat yang tinggi serta fungsi ekologi.

Kata beliau, pembangunan ladang monokultur juga menyebabkan fungsi kepelbagaian hutan terjejas selain kawasan koridor hidupan liar terutamanya gajah dan harimau belang turut diguna pakai.

“Kami menyambut baik ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara (MTN) ke-79 yang berlangsung pada 2 Disember lalu, namun berhubung persetujuan secara prinsip pelaksanaan moratorium kelulusan baharu penubuhan ladang hutan HSJ di Semenanjung Malaysia selama 15 tahun itu tidak mencukupi.

“Selain itu, pengusahasilan secara tebang habis pula tidak tertakluk kepada Catuan Tebangan Tahunan (CTT).

“Sehubungan itu, kita mahu dasar berhubung penggalakan penubuhan dan pembangunan ladang monokultur dalam HSK dimansuhkan sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Tambah Meenakshi, selalunya, justifikasi dan alasan utama sesuatu pohak berkuasa negeri meluluskan projek pembangunan ladang monokultur ialah kerana kawasan yang dikenal pasti ditakrifkan sebagai hutan miskin atau hutan terosot namun, hutan seperti ini boleh dibaikpulih dengan menanam pelbagai spesies pokok bersesuaian dan bukannya membangunkan ladang monokultur.

Jelas beliau, brdasarkan pemerhatian dan kajian pihaknya sebelum ini mendapati kebanyakan pembangunan ladang monokultur dilakukan tanpa kawalan walaupun pihak berkuasa negeri berkenaan mengakui mempunyai prosedur operasi standard (SOP) yang diluluskan oleh pihak-pihak berkuasa berkaitan.

Antara pelaksanaan pembangunan ladang monokultur dalam HSK didapati tidak mengikut kriteria penubuhan ialah pembangunan di kawasan yang berkecerunan melebihi 25 darjah, memusnahkan kawasan rizab sungai / zon riparian, melaksanakan projek di kawasan yang bukan ditakrif sebagai hutan miskin / hutan terosot.

“Selain itu, pemilihan spesies pokok yang tidak disenaraikan contohnya, penanaman durian Musang King dan terdapat projek yang pernah beroperasi tetapi tidak mengemuka dan mendapatkan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling terlebih dahulu seperti pembangunan ladang hutan di Hutan Simpan Bukit Enggang di Kedah.

“SAM berharap semua pihak berkepentingan terutamanya MTN, kementerian dan agensi berkaitan di peringkat Persekutuan serta semua pihak berkuasa negeri akan memberi perhatian terhadap pendirian tegas dan bantahan terhadap pembangunan ladang monokultur dalam HSK,” kata Meenakshi.