Muhamad Zikril Azan Abdullah

PELABUHAN KLANG – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor sedang menyiasat seorang peniaga yang didakwa menjual produk berasaskan tauhu lebih mahal dari harga pasaran.

Pengarahnya, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, ia susulan aduan yang diterima pihaknya daripada orang ramai meskipun barang tersebut bukan barang kawalan yang ditetapkan kerajaan.

“Kita akan siasat dengan terperinci, tapi kes ini masih dalam siasatan. Kita sudah arahkan peniaga untuk datang ke pejabat (KPDNHEP Sepang) untuk kita ambil keterangan.

“Peniaga ini didapati melakukan kesalahan harga melebihi pasaran dan tidak munasabah di bawah Akta Kawalan Harga.

“Kita sedang buat siasatan lagi, adakah ada elemen pencatutan atau keuntungan tidak munasabah berlaku.

“Aduan tersebut hanya dari KPDNHEP Sepang dari satu premis sahaja,” katanya pada sidang media di Pasar Awam Majlis Perbandaran Klang (MPK), di sini, hari ini.

Minggu lalu, KPDNHEP Sepang telah mengeluarkan notis di bawah Seksyen 21, AKHAP 2011 kepada premis yang diadu.

Hasil pemeriksaan mendapati peniaga gagal mengemukakan dokumen urusniaga belian tauhu daripada pembekal.

Peniaga terbabit telah diarahkan untuk hadir ke pejabat KPDNHEP Sepang untuk mengemukakan maklumat dan memberi keterangan.

Muhamad Zikril Azan juga tidak menafikan walaupun sesuatu barang itu tidak tersenarai dalam senarai barang kawalan, namun orang ramai masih boleh membuat aduan jika berlaku pencatutan.

“Masih lagi boleh,” katanya.

Katanya lagi, setakat ini pihaknya masih belum mengenakan sebarang kompaun kepada peniaga terbabit kerana sedang mengenal pasti sejauh mana kesalahan itu.

“Kes ini berlaku minggu lepas. Belum ada kompaun sebab kes ini masih dalam siasatan.

“Sebab kita nak mengesahkan aduan itu benar atau tidak, kita tengah tengok dokumen.

“Kalau berlaku kesalahan, peniaga boleh di kompaun di bawah Anti Pencatutan. Kita belum lagi tengok potensi kesalahan itu di seksyen mana yang berkenaan.

“Sekarang kita hanya fokus kepada Seksyen 21 iaitu memberi notis kepada peniaga tersebut supaya dia mengemukakan maklumat yang diperlukan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette