Rakaman dari kamera papan pemuka kenderaan yang tular memaparkan sebuah lori tangki sedang memotong kenderaan lain menggunakan lorong kecemasan dalam kejadian di Lebuh Raya Seremban - Port Dickson, Negeri Sembilan, kelmarin. FOTO media sosial

KUALA LUMPUR – Polis sedang mengesan sebuah lori tangki yang dipercayai menggunakan lorong kecemasan untuk memotong kenderaan lain dalam kejadian di Kilometer 27 Lebuh Raya Seremban – Port Dickson, Negeri Sembilan, kelmarin.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, sebuah rakaman berdurasi 16 saat dikesan tular di media sosial sejak semalam memaparkan sebuah lori tangki menggunakan lorong kecemasan.

“Kejadian dipercayai berlaku antara pukul 2 hingga 4 petang dari arah Seremban menghala ke Port Dickson dan ketika kejadian, keadaan di lebuh raya sesak.

“Justeru, polis sedang mengesan sebuah lori tangki menggunakan nombor pendaftaran CEL 5916 yang didaftarkan atas sebuah syarikat pengangkutan beralamat di Bukit Raja, Shah Alam,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, pemandu atau pemilik kenderaan itu diminta hadir ke Balai Trafik Port Dickson bagi siasatan lanjut.

Tambah Aidi Sham, pihaknya juga tidak akan berkompromi dengan mana-mana pemandu atau penunggang yang mengambil jalan pintas dan berlagak seperti ‘raja’ di lebuh raya bagi menjamin keselamatan pengguna yang lain.

“Kita menyeru kepada semua pengguna jalan raya supaya mengamalkan etika pemanduan yang baik, mematuhi peraturan lalu lintas serta mengamalkan sikap toleransi supaya tidak mendatangkan kesulitan kepada pihak lain,” ujarnya.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 279 Kanun Keseksaan dan Kaedah 53 (1) Kaedah-Kaedah Lalu Lintas 1959.

Terdahulu, tular sebuah rakaman kamera papan pemuka kenderaan di laman Facebook yang memaparkan sebuah lori tangki berwarna merah bertindak memotong kenderaan lain menggunakan lorong kecemasan. – MalaysiaGazette