Covid-19 cases
Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Semua indikator utama jangkitan Covid-19 dalam negara menunjukkan penurunan sehingga Sabtu lalu bersamaan Minggu Epidemiologi (ME) ke-49.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, perkembangan positif itu selari dengan penurunan kadar kebolehjangkitan (Rt) dalam negara.

“Sehingga 11 Disember 2021 [Minggu Epidemiologi (ME) ke-49], sebanyak 2,688,149 kes kumulatif Covid-19 telah dilaporkan dengan 60,778 kes aktif dan 30,862 kes kumulatif kematian,” katanya.

Beliau menyatakan demikian menerusi kenyataan bagi mengulas analisa situasi semasa jangkitan Covid-19 untuk Minggu Epidemiologi Ke-49.

Menurut Noor Hisham, kes baharu menurun sebanyak 3.5 peratus daripada 34,897 kes (ME ke-48) kepada 33,675 kes (ME ke-49).

Selain itu tambah beliau, purata kes aktif Covid-19 turut mencatatkan penurunan sebanyak lima peratus secara konsisten selama dua minggu.

“Tren penurunan kes ini dicatatkan sejak tiga minggu lepas mulai ME ke-46,” jelasnya.

Ujar Noor Hisham, bilangan kes kematian disebabkan jangkitan Covid-19 pula kekal konsisten menunjukkan penurunan sebanyak 2 peratus sejak enam minggu lalu.

“Purata kes Covid-19 yang memerlukan rawatan di ICU (Unit Rawatan Rapi) menunjukkan penurunan sebanyak 8 peratus iaitu 386 kes (ME ke-48) kepada 356 kes (ME ke-49).

“Purata kes Covid-19 yang memerlukan alat bantuan pernafasan turut menunjukkan penurunan 2.5 peratus iaitu dari 163 kes (ME ke-48) ke 158 kes (ME ke-49),” kata Noor Hisham.

Bagaimanapun beliau memberitahu, semua kategori kluster menunjukkan peningkatan, kecuali kluster aktiviti
keagamaan, pusat tahanan dan import. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast