Jeck Seng

KUALA LUMPUR – Tiada persetujuan penerimaan daripada kedua-dua belah pihak menyebabkan tawaran pajakan tanah Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Lot 20013 Seksyen 88 Jalan Ampang tidak dimuktamadkan dan perjanjian tidak dapat ditandatangani.

Timbalan Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng berkata, mesyuarat Lembaga Perolehan LGM pada 30 November 2020 telah menilai tawaran yang diterima daripada enam syarikat dan memutuskan berdasarkan penilaian jawatankuasa teknikal dan kewangan tawaran terbaik diterima daripada An-Noor Foundation.

“An-Noor Foundation telah melepasi penilaian dan memberi tawaran yang terbaik dengan tawaran nilai pajakan RM0.70 sekaki persegi bagi tempoh pajakan selama sepuluh tahun dengan penyambungan lima tahun berserta kadar kenaikan 10 peratus setiap lima tahun.

“Penyambungan lima tahun tertakluk kepada persetujuan bersama. Walau bagaimanapun tawaran pajakan ini tidak dimuktamadkan dan perjanjian tidak ditandatangani,” jelas beliau pada pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang ingin mengetahui berapa harga yang dimuktamadkan dalam pajakan tanah milik LGM Lot 20013 seksyen 88 Jalan Ampang kepada Al Noor Foundation dari Turki; dan berapa harga yang dimuktamadkan dalam cadangan penjualan tanah milik LGM Lot No 20012 dan geran bernombor 79145 kepada syarikat Eurowhite.

Jeck Seng berkata cadangan tawaran pembelian oleh Syarikat Eurowhite bagi tanah Lot No 20012 seluas 8.89 ekar telah dibentangkan di Jawatankuasa Pelaburan LGM.

”Namun, tiada pengesyoran penjualan kepada syarikat tersebut kerana pihak LGM perlu menimbangkan pilihan terbaik dan mendapatkan ulasan daripada Jabatan Warisan Negera serta laporan perunding konservator yang dilantik berikutan status hartanah tapak warisan,” katanya.

Beliau berkata apa-apa bentuk pajakan daripada LGM mesti mengikut prosedur kerajaan iaitu perlu melalui penilaian daripada LGM Properties Corporation (LGMPC) yang mempunyai dua jawatankuasa iaitu jawatankuasa teknikal dan jawatankuasa kewangan.

“Beberapa kriteria diwajibkan seperti menilai dari segi kelengkapan dokumen, penyata kewangan, dan penyata bank. Selepas daripada cadangan, pajakan diambil kira daripada semua aspek termasuk harga pajakan, jenis perniagaan yang akan dijalankan di atas tanah yang hendak dipajak, dan kenaikan harga tawaran jika ada pada tempoh tertentu serta keadaan pembayaran.

“Apabila proses ini dijalankan, maka LGMPC akan mengangkatnya kepada Lembaga Perolehan LGM untuk membuat tindakan selanjutnya,” katanya dan menambah pada masa kini, ia masih dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM). – MalaysiaGazette