Ramesh Rao.
Ramesh Rao.

KUALA LUMPUR – Pertubuhan Minda dan Sosial Prihatin (PMSP) mengesa kerajaan tidak lagi meletakkan pengurusan dana Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) di bawah parti politik.

Presidennya, Datuk Seri Ramesh Rao berkata, ia bagi mengelakkan geran di bawah Kementerian Perpaduan Negara itu disalahgunakan pihak tidak bertanggungjawab yang menyalurkan dana bukan untuk kepentingan masyarakat India di negara ini.

“Kalau dana MITRA terus diuruskan orang politik, kita khuatir penyelewengan akan berulang seperti mana berlaku terhadap 16 orang pengarah syarikat yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Oktober lalu.

“Seeloknya yang menguruskan dana MITRA ini mestilah bukan orang politik, kalau boleh melibatkan pihak awam termasuk badan bukan kerajaan, golongan profesional seperti peguam, pakar kewangan dan kakitangan kerajaan.

“Kita mahu dana MITRA ini diagihkan secara adil dan saksama, bukan lagi dikuasai orang politik hingga menyebabkan masyarakat India tercicir daripada pembangunan negara,” katanya kepada MalaysiaGazette hari ini.

Pada 26 Oktober lalu, seramai 17 individu yang merupakan pengarah syarikat termasuk seorang wanita dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini bagi mendapatkan perintah reman untuk membantu siasatan penyelewengan dana geran peruntukan MITRA di bawah Kementerian Perpaduan Negara.

Terdahulu, SPRM telah menahan seramai 16 orang pengarah syarikat berusia antara 24 hingga 68 tahun dalam satu operasi besar-besaran yang diadakan di sekitar Lembah Klang 25 Oktober lalu.

Menurut sumber, dianggarkan puluhan juta didakwa dilesapkan oleh kumpulan berkenaan yang pada asalnya memohon geran peruntukan MITRA bagi melaksanakan program-program sosio-ekonomi masyarakat India di Malaysia.

Terdahulu, menerusi Bajet 2022 kerajaan mengumumkan sebanyak RM145 juta disediakan antaranya untuk melaksanakan program memperkasa sosio ekonomi komuniti India di bawah MITRA dan dana pembiayaan di bawah Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India oleh Tekun Nasional.

Ramesh juga tidak menafikan dana MITRA sebelum ini menjadi lubuk kepada orang politik yang turut memohon geran namun bukan untuk kepentingan pembangunan masyarakat India di negara ini.

“Sejak zaman bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak lagi, dana MITRA sering kali menjadi sasaran pemimpin politik untuk mencari habuan politik masing-masing dan sering menjadi masalah,” katanya.

Menurutnya, orang politik tidak wajar untuk diberikan akses untuk menguruskan dana jutaan ringgit itu tanpa pemantauan golongan profesional dan pihak berkuasa dalam memastikan ia dapat dimanfaatkan oleh masyarakat India.

“Kita nak dana itu disalurkan dengan betul, sebab sebelum ini ramai orang politik mohon geran, ada ketua cawangan…ada ketua bahagian.

“Kalau macam ini, dana memang tak sampai kepada kumpulan sasaran, malah hanya merosakkan nama baik parti pemerintah, sebaliknya geran ini dilihat hanya membantu diri sendiri seperti beli rumah baharu, kereta baharu,” katanya.

Katanya lagi, bagi membasmi penyelewengan dana itu, Perdana Menteri digesa mewujudkan pelan tindakan untuk masyarakat India di negara ini untuk jangka masa panjang dan bukan sahaja untuk menghadapi pilihan raya.

“Secara tidak langsung blueprint dapat meyakinkan kaum India pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) akan datang, apa hala tuju untuk kaum India, baru mereka ini yakin untuk kembali kepada Barisan Nasional (BN),” katanya lagi. – MalaysiaGazette