Singapura
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Semua kategori pengembara terdiri daripada warganegara Malaysia  dan Singapura boleh memasuki kedua-dua negara masing-masing menggunakan  Laluan Perjalanan Vaksinasi (VTL) darat berkuatkuasa 20 Disember ini.

Malah pemastautin tetap Malaysia masih boleh memasuki Malaysia menggunakan VTL-Land.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri berkata, pengembara wajib divaksinasi sepenuhnya dan bagi kanak-kanak di bawah umur 12 tahun yang tidak divaksinasi, mereka harus ditemani ibu bapa atau penjaga yang telah lengkap divaksin.

Pengembara yang layak adalah tertakluk kepada ujian saringan Covid-19 dan keperluan kesihatan terperinci yang ditentukan oleh negara masing-masing.

Pada masa ini, VTL-Land masih terhad kepada perkhidmatan bas sahaja dan akan menawarkan tiket untuk memenuhi permintaan yang meningkat dan tertakluk kepada status kesihatan awam semasa.

Perkhidmatan bas VTL-Land yang ditetapkan di Malaysia akan menggunakan Terminal Bas Larkin Sentral (Larkin Sentral) manakala di Singapura akan menggunakan Terminal Queen Street (QST) dan Woodlands Temporary Bus Interchange (WTBI).

Sebelum membuat pembelian tiket, pengembara yang ingin masuk ke Malaysia menggunakan VTL-Land dikehendaki mendaftar di https://mysafetravel.gov.my manakala pengembara dari Malaysia ke Singapura, dikehendaki mendaftar di https://go.gov.sg/vtl-portal. Butiran mengenai keperluan VTL-Land boleh didapati di https://www.miti.gov.my dan https://www.safetravel.ica.gov.sg. – MalaysiaGazette