Kementerian kesihatan
Kementerian Kesihatan Malaysia. foto HAZROL ZAINAL, 02 NOVEMBER 2018.

PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) mengemukakan cadangan untuk meminda Akta 342 iaitu Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Pengarah Kawalan Penyakit, Datuk Dr Norhayati Rusli berkata, pindaan itu merangkumi lima peruntukan baharu dan lima pindaan.

Antara pindaan itu adalah Seksyen 2 (1) yang mana menukar tafsiran kepada pegawai diberikan kuasa yang dilantik oleh menteri kesihatan dan taksiran kepada pegawai kesihatan persekitaran.

Selain itu, pindaan turut membabitkan perintah untuk memakai atau menggunakan peranti pengesanan, ujarnya.

“Peruntukan ini bagi membolehkan penggunaan teknologi terkini untuk mengawal pergerakan orang yang dijangkiti atau disyaki dijangkiti,” katanya pada taklimat media mengenai Rang Undang-undang Pindaan Akta 342, di sini, hari ini.

Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah.

Menurut Dr Norhayati, kadar kompaun turut dicadangkan untuk dinaikkan kepada RM10,000 bagi individu dan RM1 juta bagi syarikat yang didapati melanggar SOP.

“Dalam hal seseorang itu merupakan seorang individu suatu jumlah wang yang tidak melebihi RM10,000 atau dalam hal pertubuhan perbadanan (syarikat) suatu jumlah wang yang tidak melebihi RM1 juta,” jelasnya.

Sebelum ini, Akta 342 hanya memperuntukkan kompaun RM1,000 terhadap individu yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) di bawah akta sama.

Sementara itu. Dr. Noor Hisham berkata, pindaan itu perlu memastikan kesinambungan penguatkuasaan peruntukan-peruntukan di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 yang telah dijalankan sebelum ini dan ia telah dirungkaikan pada 8 Disember.

“Pindaan ini untuk menyeragamkan pelaksanaan penguatkuasaan dalam kalangan pegawai agensi-agensi lain yang diberi kuasa di bawah Akta 342.

“Menambah baik Akta 342 berdasarkan pengalaman berkaitan perundangan dan penguatkuasaan semasa wabak Covid-19 dan agar relevan dengan situasi dan teknologi semasa dalam kawalan wabak

“Meningkatkan keberkesanan penguatkuasaan Akta 342 dalam membendung penularan jangkitan penyakit berjangkit terutamanya wabak Covid-19,” katanya pada sidang media sama. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Anwar Ibrahim telah nyatakan bahawa blok pembangkang tidak menyokong dan ia satu tindakan yang betul kerana kesalahan kecil dikenakan sehingga RM10k atau RM1 juta yang akan memberi kesan kepada rakyat Malaysia serta menyebabkan syarikat2 boleh menutup operasi di Malaysia .Ini akan menyebabkan ekonomi negara akan mundur bila pelabur2 takut untuk melabur di Malaysia..
    Bila doktor tak faham ekonomi atau kesan jangka panjang memang boleh menyebabkan Malaysia ke belakang.

Comments are closed.