Hishammuddin Hussein

KUALA LUMPUR – Kerajaan masih memperhalusi prosedur operasi standard (SOP) perayaan Krismas dan Thaipusam dengan mengambil kira keselamatan dan kesihatan rakyat terutamanya mengambil kira penularan varian Omicron di seluruh dunia ketika ini.

Pengerusi Mesyuarat Menteri Kuartet COVID-19 Datuk Seri Hishammuddin Hussein berkata, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Halimah Sadique dan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan untuk duduk semeja dengan pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta pemegang kepentingan bagi menyelaras Prosedur Operasi Standard (SOP) berhubung kedua-dua perayaan
berkenaan.

Menurutnya, bagi perayaan Krismas, tumpuan diberikan terhadap perangkaan SOP upacara sembahyang, aktiviti berkunjung ke rumah keluarga, persembahan secara langsung, upacara nyanyian koir dari rumah ke rumah dan gerai jualan Krismas.

Manakala untuk perayaan Thaipusam pula, tumpuan perbincangan diberikan terhadap perangkaan SOP upacara sembahyang di kuil, perjalanan dan pergerakan kereta “Chariot”, membawa kavadi, membawa Paal koodam atau belanga susu, mencukur rambut, upacara ritual (mandi) di sungai dan pembukaan gerai jualan.

”Pihak KKM, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perpaduan Negara dan pihak kuil akan turun ke lapangan untuk meneliti kapasiti ruang, keperluan logistik serta tempat-tempat persinggahan sepanjang perjalanan dan pergerakan kereta “Chariot”,” katanya.

Hishammuddin meminta orang ramai supaya mematuhi setiap SOP yang bakal diumumkan Kementerian Perpaduan Negara kelak dengan penuh disiplin dan bertanggungjawab selari dengan matlamat kerajaan. – MalaysiaGazette