KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) akan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana sekolah atau pengurusannya menyembunyikan kes buli di sekolah berkenaan.
Menterinya, Senator Datuk Dr. Radzi Md. Jidin berkata, pihaknya memandang serius isu buli melibatkan murid dan sentiasa mengambil langkah pencegahan sewajarnya.
Bagi menangani masalah itu, satu sistem pelaporan diwujudkan, dengan pihak sekolah boleh melaporkan apa sahaja kes buli dalam sistem tersebut bagi membolehkan KPM tahu maklumat kes yang berlaku dan tindakan patut diambil.
“Kita sedar, kes buli ini sudah lama berlaku, sebab itu kita sedang melihat secara menyeluruh, bagaimanakah pendekatan yang boleh kita laksanakan iaitu memperkukuhkan pemantauan oleh warden di asrama,” katanya pada sesi waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Parlimen hari ini.
Beliau menjawab soalan dari Che Alias Hamid (Pas-Kemaman) yang meminta KPM menyatakan usaha dilakukan bagi menangani masalah buli di sekolah khususnya murid yang tinggal di asrama seperti dibangkitkan sejak kebelakangan ini.
Menurut Radzi, mengambil kira isu buli itu telah berlarutan sekian lama, KPM sedang merangka satu kerangka menyeluruh bagi membanteras buli di sekolah termasuk dalam kalangan murid asrama
Kerangka baharu itu, kata beliau, melibatkan pengukuhan dan penambahbaikan kepada pendekatan sedia ada dengan tumpuan kepada empat komponen utama iaitu penyedaran, pelaporan, penghukuman dan pemantauan.
Dalam konteks penyedaran, KPM akan memperkenalkan konsep Sekolahku Sejahtera yang bertujuan memupuk dan menerapkan nilai penting kehidupan dalam kalangan warga sekolah termasuk murid.
“Nilai ini diterap dan dididik oleh guru secara langsung atau tidak langsung dalam aktiviti kurikulum dan kokurikulum.
“Ini bagi memastikan murid benar-benar dapat menghayatinya, seterusnya menjadi sebahagian daripada amalan dalam kehidupan mereka sama ada di sekolah atau di luar sekolah,” katanya.
Beliau menjelaskan, konsep itu memberi tumpuan kepada 14 elemen iaitu S-Selamat, Seronok dan Sihat, E-Etika dan Empati, J-Jati Diri, A-Adab Sopan, H-Harmoni, T-Tekun, Teliti dan Trampil, E-Eksplorasi, R-Rasional dan A-Atikulasi.
Kata beliau, penerapan elemen itu dalam kalangan warga sekolah akan dapat membentuk keperibadian murid yang menyedari buli perlu dibanteras sepenuhnya.
Dalam konteks pelaporan, katanya, KPM telah menyediakan saluran pelaporan bagi membolehkan sekolah melaporkan kes buli kepada kementerian.
“Kita juga telah menyediakan garis panduan mencegah dan menangani perbuatan buli dalam kalangan murid dan buku panduan pengurusan menangani buli di sekolah sebagai panduan kepada sekolah.
“KPM akan terus menambahbaik sistem pelaporan kes buli bagi memastikan pendekatan yang terbaik dapat dibangunkan.
“Pada masa ini, kita sedang merangka sistem pelaporan yang akan membolehkan warga sekolah termasuk murid dan ibu bapa membuat aduan terus kepada kementerian dan maklumat yang diterima akan dilindungi,” katanya.
Berhubung penghukuman di peringkat sekolah, Dr. Radzi berkata, KPM telah mengeluarkan Surat Pekeliling Iktisad (SPI) yang menyentuh mengenai hukuman terhadap pelaku buli di sekolah atau asrama.
Katanya, KPM sedang meneliti hukuman ke atas murid yang melakukan perbuatan buli dengan membuat penambahbaikan pada mana-mana hukuman yang tersenarai dalam SPI itu.
“Ini bagi memastikan hukuman dikenakan adalah setimpal dan menjadi pendekatan pencegahan yang berkesan.
“Bagi aspek pemantauan pula, pada masa ini pemantauan di sekolah dilaksanakan oleh pentadbir, guru dan warden.
“Oleh itu, perbincangan akan terus dilaksanakan dengan agensi pusat bagi memastikan jawatan warden sekolah diperkasakan, selaras dengan tanggungjawab dan keperluan semasa mereka,” katanya. – MalaysiaGazette