Buku Teroka Sains terjual lebih 240,000 naskah.

KUALA LUMPUR – Generasi kanak-kanak hari ini tidak sama macam dulu.

Dulu, golongan itu rajin baca buku, sekarang mereka asyik main gajet sehingga ramai ibu bapa hari ini mengeluh.

Tapi cuba kita fikirkan, benarkah anak hari ini lebih suka main gajet? Atau sebenarnya ibu bapa yang bertanggungjawab memupuk minat membaca bahan bacaan yang menarik?

Bertitik tolak dari itulah pasangan suami isteri, Dr. Wan Fahmi Datuk Wan Mohamad Nazarie dan Dr. Nur Annies Abd Hadi hingga kini sudah menulis empat siri buku Teroka Sains yang berpaksikan ilmu sains.

Pengalaman dan kesempatan terindah menuntut ilmu di peringkat ijazah Doktor Falsafah (PhD) di Universiti of Edinburgh, United Kingdom (UK) termasuk bertemu saintis hebat mendorong mereka menerbitkan buku bermanfaat dipanggil Teroka Sains.

Dijual pada harga berpatutan iaitu RM35 bagi sebuah buku yang mengandungi 150 muka surat bergambar dan berwarna itu ternyata menjadi percaturan dua saintis yang berjaya itu.

Buktinya, setiap siri yang dihasilkan mendapat sambutan dan permintaan hebat hingga ‘laku keras’. Hingga kini, keempat-empat siri buku itu sudah menarik minat lebih 100,000 golongan kanak-kanak untuk membaca dengan lebih 240,000 naskhah sudah terjual.

“Siri pertama dengan judul Teroka Sains 1: Menerokai Keajaiban Alam Ciptaan Tuhan manakala buku siri kedua yang menfokus kepada alam haiwan bertajuk Teroka Sains 2: Fakta Pelik, Unik & Kelakar Haiwan diterbitkan pada tahun 2019.

“Tahun ini kita terbitkan dua siri, tiga dan empat. Siri ketiga diberi judul, Teroka Sains 3: Uniknya Awak yang memaparkan perihal manusia khususnya.

“Siri keempat berjudul Teroka Sains 4: Rindunya Nak Travel pula menelusuri fakta dan info sains menarik dari 74 buah negara termasuk negara yang pernah saya dan suami jejaki.

“Tajuknya sendiri kena dengan situasi semasa kita sebelum ini apabila tidak boleh merentas negara kerana pandemik Covid-19,” kata Dr. Nur Annies yang berkelayakan Ph.D. Epigenetik Bioperubatan.

Dr. Wan Fahmi Datuk Wan Mohamad Nazarie dan Dr. Nur Annies Abd Hadi (kiri).

Pada awalnya pasangan berkenaan menjangkakan hanya golongan anak sahaja yang sukakan buku berkenaan.

Tapi tersasar kerana keempat-empat buku yang diterbitkan tidak hanya dibaca golongan muda.

“Bayangkan ibu bapa yang belikan untuk anak mereka pun terjebak baca sekali. Malah daripada maklum balas diterima, cara penyampaian selain grafik dan imej buat bacaan itu jadi tak bosan malahan sangat menyeronokkan.

“Pendek kata boleh leka membaca. Sedar-sedar sudah di helaian terakhir,” katanya.

Sementara itu, Dr. Wan Fahmi yang berpendidikan Ph.D. Bioinformatik dan Biologi Pengkomputeran memaklumkan fakta dan info menarik tentang sains yang ditulis mudah dan senang untuk difahami menarik minat si cilik dan juga ibu bapa untuk membaca buku ini.

“Sebagai contoh ada info tentang monyet yang suka berendam pada musim sejuk di negara Jepun, ada tasik yang berwarna-warni di Amerika Syarikat dan ada gunung berapi yang boleh kita pergi dengan lebih dekat di negara Vanuatu.

“Banyak lagi info dan fakta menarik sebagai contoh kenapa udang jadi merah apabila masak, kenapa kuda belang tiada belang dan kenapa ada haiwan yang boleh bertukar warna?

“Semuanya ada di dalam buku Teroka Sains sekaligus menjadi buku yang sangat menyeronokkan untuk dibaca dan terbukti apabila anak-anak membaca buku ini berkali-kali sehingga buku itu lunyai,” katanya.

Layari www.terokasains.com untuk mendapatkan buku Teroka Sains atau menyertai program affiliate Teroka Sains untuk bersama-sama kami menyebar luas ilmu melalui buku Teroka Sains ke seluruh pelusuk negara.

Sewaktu majlis graduasi pada 1 Disember 2017 di Edinburgh, UK, pasangan ini turut mencuri perhatian ramai dan kisah kejayaan mereka pernah menjadi paparan berita.

Mereka sama-sama menuntut ilmu di universiti berkenaan sejak tahun 2012. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast