Orang ramai beratur panjang untuk membayar saman polis dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sempena Program 100 Hari Aspirasi #KeluargaMalaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC). Foto AFFAN FAUZI, 09 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Orang ramai masih mempunyai masa untuk menjelaskan saman Jabatan Pengakutan Jalan (JPJ) selepas Kementerian Pengangkutan Malaysia bersetuju melanjutkan tempoh pengurangan kompaun sehingga 31 Disember ini.

JPJ dalam satu kenyataan berkata, lanjutan itu diberikan susulan sambutan menggalakkan daripada orang ramai sempena program 100 Hari Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) yang diadakan pada 9 hingga 12 Disember lalu.

“Justeru kementerian melalui JPJ telah bersetuju untuk melanjutkan tempoh tawaran pengurangan pembayaran saman kompaun sebanyak 80 peratus kepada semua notis saman JPJ (yang boleh dikompaun) sehingga 31 Disember, kecuali bagi kes-kes yang masih dalam sebutan mahkamah termasuk berstatus waran tangkap dan perbicaraan.

“Walau bagaimanapun, bagi pesalah lalu lintas yang telah disenarai hitam, pesalah dikehendaki untuk hadir sendiri ke kaunter JPJ bagi proses dokumentasi semula sebelum menikmati diskaun saman yang ditawarkan,” katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, sepanjang tempoh empat hari AKM diadakan, JPJ  berjaya mengutip sebanyak RM4.12 juta melalui 81,146 transaksi urus niaga pembayaran saman.

Daripada jumlah tersebut, sebanyak 68,953 transaksi melibatkan saluran kaunter dan mobile JPJ manakala selebihnya melibatkan 1,080 transaksi kios dan 11,113 transaksi atas talian.

“Dengan lanjutan tempoh ini, diharap dapat memberi lebih banyak peluang dan kemudahan kepada Keluarga Malaysia untuk menikmati tawaran pengurangan pembayaran saman yang lebih panjang tanpa perlu mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) Covid-19,” ujarnya.

Orang ramai yang ingin membuat pembayaran saman boleh berbuat demikian dengan mengunjungi semua kaunter di pejabat JPJ seluruh negara termasuk kios, mobile JPJ dan Unit Transformasi Bandar (UTC). – MalaysiaGazette