Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang sedang berdepan kes berkaitan projek terowong dasar laut kini dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN).

Ini bermakna Setiausaha Agung DAP yang juga bekas Menteri Kewangan dapat meneruskan perbicaraan rasuah di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi esok.

Peguam yang mewakili Guan Eng, Haijan Omar memaklumkan kepada mahkamah anak guamnya itu kini dalam keadaan sihat untuk hadir perbicaraan.

Azura sebelum itu bertanya kepada peguam mengenai keadaan kesihatan Guan Eng dan adakah benar beliau sihat untuk hadir perbicaraan.

Haijan memberitahu, Guan Eng telah telah dibenarkan keluar IJN dan akan hadir ke prosiding seperti yang ditetapkan esok.

Semalam prosiding Guan Eng diteruskan tanpa kehadirannya kerana menjalani rawatan di IJN selepas menjalani prosedur berkaitan jantung semalam.

Peguam Gobind Singh Deo yang juga mewakili Guan Eng memaklumkan anak guamnya dimasukkan ke IJN sejak Ahad lalu dan telah diberi cuti sakit selama tiga hari.

“Pembelaan akan menyerahkan surat sakit rasmi kerana IJN hanya akan mengeluarkan surat itu selepas pesakit dibenarkan keluar,” katanya.

Namun Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin memohon mahkamah merekodkan kekesalan pihaknya memandangkan terdapat tiga saksi formal yang hadir dari Pulau Pinang bagi kes berkenaan.

Katanya, Guan Eng berjumpa dengan doktor pada 7 Disember lalu dan doktor menetapkan tarikh untuk prosedur.

“Apa yang menjadi kekesalan adalah kes sudah ditetapkan pada hari ini namun memilih untuk dimasukkan pada 12 Disember (Ahad).

“Kita semua sakit dan akan sakit… kami tidak mahu menjadikan perkara ini isu besar tetapi mohon tertuduh lebih bertanggungjawab untuk tetapkan tarikh rawatan,” katanya.

Hakim Azura kemudian memerintahkan perbicaraan diteruskan tanpa kehadiran Guan Eng dengan mengguna pakai Seksyen 264 Kanun Acara Jenayah (CPC).

Ahli Parlimen Bagan itu didakwa atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri itu.

Guan Eng turut didakwa atas tuduhan pindaan iaitu sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan bagi dirinya sendiri wang berjumlah RM3,300,000 dengan mengambil tindakan bagi membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura bersambung esok. – MalaysiaGazette