GEORGE TOWN – Hampir 200 ekor lembu nyaris rentung dalam kebakaran di Jalan Belakang Rumah Panjang, Lorong Kulit di sini hari ini.

Tindakan pantas anggota bomba mengawal api merebak berjaya menyelamatkan haiwan ternakan tersebut namun tempat penyimpanan dedak haiwan itu hangus sepenuhnya.

Menurut pemilik kandang lembu yang ingin dikenali sebagai Wan, 39, kejadian itu disedari empat pekerjanya kira-kira pukul 12 tengahari ketika sedang melakukan proses pembungkusan susu lembu.

Anggota bomba sedang melakukan kerja-kerja memadam api di lokasi kejadian.

Kata Wan, pekerjanya melihat api menjulang di bahagian simpanan dedak sebelum menghubungi talian kecemasan.

“Terdapat dua kandang lembu di bahagian kiri dan kanan tempat penyimpanan dedak itu, mujurlah kepantasan bomba berjaya mengawal api daripada merebak.

“Semua lembu ternakan saya selamat namun masih perlu menanggung kerugian sebanyak RM60,000 susulan semua dedak lembu yang disimpan hangus sama sekali,” katanya ketika ditemui hari ini.

Sementara itu Ketua Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Perak, Sha’ari Mansor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 12.19 dan tiba satu minit kemudiannya.

“Kita berdepan kesukaran bagi mendapatkan bekalan air dari pili berhampiran iaitu kira-kira 200 meter dari tempat kejadian. Anggota bomba mengambil masa kira-kira 20 minit untuk memadamkan kebakaran secara keseluruhan,” katanya.- MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast