KUALA LUMPUR – Seramai 18 Ahli Parlimen yang mengambil bahagian dalam perbahasan cadangan meminda Rang Undang-Undang (RUU) Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2021 memberi sokongan atas usaha itu.
Rata-rata mereka menyifatkan pindaan bagi Seksyen 12, 13 dan 14 RUU itu, iaitu menambah kadar hukuman penjara sebelum ini dari tiga tahun hingga 20 tahun kepada lima tahun hingga seumur hidup selepas pindaan sebagai tepat.
RUU itu dibacakan kali ketiga dan sebulat suara diluluskan.
Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Hamzah Zainuddin ketika menggulung perbahasan itu memberitahu Dewan, jenayah pemerdagangan orang adalah bentuk perhambaan moden yang menjadi cabaran global dihadapi semua negara di dunia.
Katanya, pemerdagangan orang itu juga satu keadaan, yang mana maruah serta hak asasi seseorang manusia yang menjadi mangsa telah dinafikan dan diperlakukan secara zalim serta tidak berperikemanusiaan.
“Sifat serta modus operandi ini unik dan dinamik kerana ia boleh berlaku kepada semua golongan tidak kira jantina, umur, status kewarganegaraan serta boleh berlaku sama ada dalam negara atau merentasi sempadan negara.
“Pemerdagangan orang ini juga merangkumi aspek eksploitasi seks, buruh, perhambaan, pengabdian termasuk pemindahan organ manusia,” katanya pada sesi penggulungan perbahasan bagi pindaan RUU Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2021 di Parlimen, petang ini.
Menurut beliau, jenayah penyeludupan migran mula secara umumnya melibatkan sebarang aktiviti seperti mengatur atau merancang kemasukan melalui mahupun pengeluaran seseorang dari mana-mana negara secara haram yang melanggar perundangan negara.
Selain itu, kata Hamzah, mereka yang bersubahat dengan penyeludupan migran seperti terlibat membawa atau menyembunyikan seseorang bagi diseludup masuk atau keluar juga merupakan pelaku penyeludupan jenayah migran. – MalaysiaGazette