Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun menyampaikan sumbangan kepada wakil kanak-kanak Taska Kemas pada Majlis Flag Off sumbangan produk susu Dutch Lady kepada Kanak-kanak Taska Kemas Parlimen Putrajaya di Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 16 DISEMBER 2021.

PUTRAJAYA – Seramai 1,000 orang kanak-kanak Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) dan Taman Asuhan Kanak-Kanak (Taska) Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) sekitar Putrajaya menerima sumbangan produk susu secara percuma daripada syarikat Dutch Lady Milk Industries Berhad (DLMI).

Sumbangan ini merupakan sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat (CSR) DLMI dalam membantu dan meringankan beban ibu bapa yang terkesan akibat Covid-19 yang melanda negara.

Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Datuk Raman Harun berkata, inisiatif ini dialu-alukan kerana setiap kanak-kanak yang dihantar ke Tabika atau Taska Kemas perlu dipastikan sentiasa menerima nutrisi yang cukup.

Jelas beliau, ini adalah seperti yang telah digariskan dalam Polisi Dasar Pemakanan Kebangsaan 2.0 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

“Pemakanan sihat adalah sangat penting untuk menggalak tumbesaran dan perkembangan seorang kanak-kanak itu. Masalah kekurangan zat makanan dan pengambilan zat makanan yang tidak seimbang in boleh diatasi dengan adanya program Bantuan Makanan Tambahan yang dilaksanakan oleh pihak Kerajaan”

“Kemas memperuntukkan hampir RM124 juta pada tahun 2021 melalui program Bantuan Makanan Tambahan bagi memastikan anak-anak yang berada di  seluruh Tabika dan Taska Kemas dibekalkan makanan yang sihat dan seimbang seperti susu dan sebagainya,” katanya sempena Majlis Flag Off Program Sumbangan Produk Susu Dutch Lady Milk Industries Berhad yang berlangsung di Lobi Utama Kementerian Pembangunan Luar Bandar Putrajaya.

Pada masa sama beliau mengucapkan penghargaan kepada DLMI kerana sentiasa menyokong program yang dianjurkan oleh Kemas melalui sumbangan hadiah, penyediaan booth pameran, khidmat nasihat mengenai kepentingan susu dan sebagainya dalam program Hari Potensi Kemas serta seminar kesihatan yang dianjurkan oleh Kemas.

Untuk rekod, DLMI merupakan sebahagian dari rakan strategik Kemas sejak 2019.

DLMI telah menyumbang sebahagian dari hadiah kepada kanak-kanak yang menyertai pertandingan bakat anjuran Kemas yang dikenali sebagai Hari Potensi Kemas yang diadakan pada setiap tahun.

Antara kerjasama strategik yang dijalinkan antara DLMI dengan Kemas adalah Program Seminar Kesihatan Kemas Tahun 2019 – Menyumbang 500 pek susu dan Pameran Produk Dutch Lady, sumbangan semua peserta Hari Potensi Kemas Peringkat Kebangsaan dan Negeri 2020 dan 2021.

DLMI turut menaja 250 hadiah kepada peseta Larian Virtual Program Webinar Kesihatan Kemas Tahun 2021. – MalaysiaGazette