Noor Hisham Abdullah

KUALA LUMPUR – Bilangan sembuh Covid-19 di dalam negara setakat 24 jam tadi menyaksikan sebanyak 4,985 kes dilaporkan.

Angka ini menunjukkan kenaikan sebanyak 433 kes daripada 4,552 semalam disusuli 4,301 pada Selasa lalu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, angka sembuh itu sekaligus menjadikan jumlah kumulatif kes sembuh setakat ini sebanyak 2,620,147  kumulatif atau 96.8 peratus.

“Sebanyak 383 kes dikenalpasti memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi manakala 198 lagi kes memerlukan peralatan bantuan pernafasan.

“Daripada 4,262 kes harian yang dilaporkan pada hari ini sebanyak 78 kes daripadanya atau 1.8 peratus adalah kategori 3, 4, dan 5.

“Manakala 4,184 kes atau 98.2 peratus lagi adalah terdiri daripada kategori 1 dan 2,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Dr. Noor Hisham, kluster Covid-19, setakat 24 jam tadi sebanyak enam lagi kluster baharu dikesan.

Sebanyak 248 kluster lagi masih dilaporkan aktif di negara ini sementara 5,814 kluster lagi telah tamat.

Mengulas lanjut mengenai kes harian setakat 12 tengahari tadi, Dr. Noor Hisham berkata, daripada jumlah itu, sebanyak 36 kes adalah import iaitu membabitkan 29 orang warga tempatan manakala tujuh lagi warga asing.

“Sebanyak 4,226 kes adalah tempatan yang mana sebanyak 4,041 kes atau 95.6 peratus adalah warga tempatan sementara 185 lagi atau 4.4 peratus lagi merupakan bukan warganegara,” ujarnya.-MalaysiaGazette