ADUN Bota, Khairul Shahril Mohamed pada Sidang Undangan Dewan Negeri di Dewan Negeri Perak Darul Ridzuan, Perak. Foto Urusetia Dewan Negeri Perak 16 DISEMBER 2021.

IPOH – Kerajaan Perak melalui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri telah membantu Perak FC Sdn. Bhd. dengan menyumbang sebanyak RM4.626 juta bagi membolehkan pemilik kelab bole sepak, Perak FC mengharungi Liga Malaysia pada musim ini.

Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia Perak, Khairul Shahril Mohamed berkata, tambahan RM3 juta juga telah disalurkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Saarani melalui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan negeri kepada Persatuan Bola Sepak Perak untuk melunaskan tunggakan gaji pemain Perak FC selama tiga bulan agar pasukan itu tidak dikenakan sekatan untuk menyertai Liga Super.

Menurut beliau, ini menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kerajaan negeri kepada pasukan bola sepak negeri itu berjumlah RM7.626 juta.

“Kerajaan negeri komited menyokong Penswastaan Liga Malaysia yang merupakan satu usaha yang dilakukan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan Football Malaysia LLP (FMLLP) untuk membolehkan Liga Malaysia dimiliki bersama antara FAM dan pasukan-pasukan yang bertanding di dalam liga tersebut.

“Hal ini merupakan salah satu usaha untuk meningkatkan kecekapan dan profesionalisme di dalam arena bola sepak Malaysia. Untuk makluman semua Ahli Dewan, perkara ini sepatutnya berlaku pada tahun 2015, kemudian dianjak ke tahun 2016 sebelum dilanjutkan lagi kepada 2018.

“Bagaimanapun ia hanya cuba direalisasikan pada tahun 2021. Usaha ini juga sangat baik dan akhirnya akan mengurangkan kebergantungan pasukan bolasepak kepada kerajaan negeri.

“Namun begitu proses transisi ini masih gagal dilakukan di Perak sehingga berdepan kemungkinan gagal untuk mendaftarkan pasukan bagi menghadapi musim 2021 akibat dari tunggakan gaji selama tiga bulan pada awal musim ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan 2022 Perak pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.

Exco Belia, Sukan, Komunikasi dan Multimedia, Khairul Shahril Mohamed di Bangunan Perak Darul Ridzuan. Foto AMIRUL SHAUFIQ 15 DISEMBER 2021.

Pada Isnin lalu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (PN-Chenderiang) yang merupakan bekas Menteri Besar berharap kerajaan negeri memberikan perhatian terhadap pasukan Perak FC yang mengalami pelbagai isu terutama kewangan.

Menurutnya yang Menteri Belia dan Sukan, beliau percaya jika perhatian diberikan kerajaan negeri, ia akan menyelesaikan banyak masalah yang dihadapi Perak FC.

“Walaupun saya terlibat dalam Kementerian Belia dan Sukan sekarang, saya sekali lalu hendak sebut tentang pengharapan daripada ramai peminat sukan di Perak agar kerajaan negeri dapat memberi sedikit perhatian yang lebih terhadap pembangunan sukan bola sepak terutama terutama pasukan kita, Perak FC.

“Jika ada sedikit sahaja (perhatian) daripada kerajaan negeri, tentu akan menyelesaikan banyak perkara berkenaan pembangunan bola sepak negeri,” ujarnya.

Mengulas lanjut, Khairul Shahril berkata, kerajaan negeri komited memberikan sepenuh tumpuan kepada pembangunan sukan bola sepak di Perak.

Menurut beliau, antara usaha-usaha yang dilakukan oleh kerajaan adalah dengan mempelbagaikan program pembangunan dan pencarian bakat baharu dengan kerjasama Persatuan Sukan Negeri dan Jabatan Pendidikan Negeri.

“Selain itu, kerajaan negeri juga melaksanakan National Football Development Program (NFDP) di mana program pembangunan bola sepak ini telah diwujudkan untuk menumpukan pembangunan bakat bermula daripada usia tujuh tahun sehingga 17 tahun.

“Program ini melibatkan empat pusat latihan daerah (PLD) iaitu di daerah Kinta, Larut Matang dan Selama, Bagan Datoh dan Kuala Kangsar.

“Ianya turut merangkumi penganjuran pertandingan di peringkat negeri dan kebangsaan yang dijalankan di pelbagai peringkat umur bagi mengenalpasti bakat yang boleh diketengahkan ke peringkat tertinggi.

“Di samping itu, saya juga menyeru agar usaha ini terus diperkasa dengan mewujudkan Akademi Bolasepak di bawah kelolaan persatuan bolasepak daerah-daerah,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast