Mas Ermieyati Shamsudin

KUALA LUMPUR – Rang Undang-Undang (RUU) Akta 829 yang diluluskan Dewan Rakyat petang ini adalah pindaan kepada Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Mengurangkan Kesan Penyakit Koronavirus 2019 (Covid-19) 2020.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Mas Ermieyati Samsudin berkata, pendekatan pelaksanaan akta itu adalah berbeza dengan isu di bawah pelaksanaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342) dan Akta Langkah-Langkah Sementara bagi Pembiayaan Kerajaan (Penyakit Koronavirus 2019 – Covid-19).

Tegas beliau, penggubalan dan pelaksanaan Akta 829 adalah suatu temporary relief daripada tanggungjawab perjanjian bagi suatu tempoh yang ditetapkan dan diperkenalkan kerajaan untuk mengurangkan impak perundangan Covid-19 ke atas individu dan perniagaan yang terkesan dari aspek ekonomi.

Katanya, Datuk Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) ada membangkitkan soalan mengenai pindaan di bawah Fasal 4 RUU berkenaan iaitu pindaan kepada Seksyen 9 berkaitan ‘Pengantaraan’.

“Untuk makluman, Seksyen 7, Bahagian II dalam Akta 829 ini telah menetapkan “relief” kepada ketidakupayaan untuk melaksanakan obligasi kontrak yang disebabkan oleh langkah-langkah yang ditetapkan, dibuat atau diambil di bawah Akta 342 untuk mengawal dan mencegah merebaknya Covid-19.

“Obligasi-obligasi kontraktual tersebut adalah merujuk kepada sembilan kategori kontrak dalam Jadual di Seksyen 7 iaitu pembinaan, bon pelaksanaan projek pembinaan, perkhidmatan profesional, sewaan premis bukan kediaman, kontrak acara, kontrak pelancongan, kontrak ziarah keagamaan, kontrak sewa beli kenderaan oleh Perniagaan Mikro, B40 dan M40 serta kontrak jualan kredit,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab perbahasan berhubung usul pindaan Akta 829 di Parlimen, petang ini.

Menurutnya, Ahmad Hassan (Warisan-Papar) menimbulkan persoalan berkenaan perkhidmatan pengantaraan melalui PMC-19.

Kata Mas Ermieyati, kerajaan telah meluluskan peruntukan RM29.1 juta untuk menjalankan inisiatif mediasi di bawah PMC-19 dan RM2.08 juta disalurkan kepada tiga penyedia perkhidmatan mediasi yang terdiri daripada Malaysian Bar, Sabah Law Society dan Advocates Association of Sarawak.

Namun, ujar beliau, hanya RM384,000 telah dibelanjakan dan berdasarkan kontrak perjanjian antara kerajaan dengan penyedia perkhidmatan mediasi itu, apa-apa lebihan peruntukan yang tidak dibelanjakan akan dipulangkan kepada kerajaan.

“Dari segi pelantikan pengantara oleh Menteri ia adalah berdasarkan senarai yang dikemukakan oleh pihak penyedia perkhidmatan pengantaraan. Mereka ini dilantik di kalangan yang terlatih dan bertauliah serta mempunyai pengalaman luas dalam bidang pengantaraan,” katanya.

Menjawab soalan dibangkitkan, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya), katanya, sepertimana proses pengantaraan dilaksanakan sebelum ini, ia telah dibangunkan sebagai panduan kepada mana-mana pihak menggunakan perkhidmatan pengantaran di bawah Akta berkenaan iaitu melalui PMC-19.

Secara umumnya, kata beliau, peraturan pengantaraan itu adalah garis panduan kepada proses perkhidmatan pengantaraan di PMC-19.

Katanya, tidak wujud karenah birokrasi dalam pelaksanaan pengantaraan PMC-19 kerana permohonan pihak untuk mendapatkan perkhidmatan itu dikemukakan secara atas talian.

“Permohonan seterusnya diproses melalui Sistem Permohonan Mediasi PMC-19 yang dikendalikan secara kerjasama antara Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang Jabatan Perdana Menteri, Malaysian Bar, Sabah Law Society dan Advocates Association of Sarawak.

“Saya juga ingin menegaskan bahawa prinsip asas pengantaraan adalah penyelesaian pertikaian yang berbentuk sukarela.

“Sekiranya pihak-pihak tidak berjaya mencapai persetujuan, sesi pengantaraan terpaksa ditamatkan tanpa perjanjian penyelesaian dan pihak-pihak boleh memilih kaedah penyelesaian pertikaian yang lain termasuk membawa tuntutan ke Mahkamah,” ujar beliau.

Akta 342 Covid-19 akan dibentang Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar untuk mendapat kelulusan majoriti Dewan Rakyat pada persidangan yang ditambah sehari lagi Isnin ini. – MalaysiaGazette