IPOH – Kerajaan Perak boleh memilih untuk mengambil pendekatan populis dengan membentang Belanjawan Perak 2022 yang besar sekaligus menjadi popular dalam kalangan rakyat.
Namun Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, tidak guna menjadi popular jika terpaksa menanggung hutang pada kemudian hari dan terpaksa diwarisi generasi akan datang.
“Saya sebagai Menteri Besar boleh memilih untuk mengambil pendekatan populis dengan meminta supaya peruntukan ditambah RM50 juta, RM100 juta atau RM200 juta supaya belanjawan ini dilihat besar dan kerajaan mungkin menjadi popular.
“Tetapi apalah gunanya menjadi popular jika kita akhirnya melonggokkan hutang yang terpaksa ditanggung oleh anak cucu cicit kita di kemudian hari,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan Belanjawan Perak 2020 pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini, hari ini.
Pada Jumaat lalu, Saarani mengumumkan Belanjawan Perak 2022 berjumlah RM1.1 bilion.
Peruntukan belanjawan tersebut bagaimanapun mengalami penyusutan berbanding tahun lalu yang berjumlah RM1.215 bilion.
Saarani berkata, peruntukan Belanjawan Perak 2022 meliputi perbelanjaan mengurus sebanyak RM803 juta dan perbelanjaan pembangunan sebanyak RM302 juta.
Beliau berkata, Belanjawan Perak 2022 dicadangkan sebagai bajet defisit RM50 juta berdasarkan unjuran hasil dan terimaan pembangunan berjumlah RM1.06 bilion serta perbelanjaan yang dirancangkan.
Sementara itu, bermula Isnin lalu, sesi perbahasan Rang Undang-undang Enakmen Perbekalan 2022 dan Usul Kumpulan Wang Pembangunan 2022 telah berlangsung selama tiga hari yang mana 42 orang Ahli Dewan Negeri telah berbahas iaitu masing-masing 18 orang mewakili Kerajaan, 23 dari blok pembangkang dan seorang wakil rakyat bebas.
Mengulas lanjut, Saarani menjelaskan, pertimbangan paling utama ketika kerajaan negeri merangka belanjawan tahun hadapan ialah dengan meneliti kedudukan kewangan negeri yang kini berada dalam keadaan defisit sebanyak RM73 juta setakat 16 Disember 2021.
Pada masa sama, kata beliau, keperluan perlu diambil kira untuk menyemak prestasi kutipan hasil negeri yang menyusut dengan begitu ketara berbanding unjuran asal.
“Bukan mudah untuk saya dan rakan-rakan pentadbiran kerajaan negeri merangka Belanjawan 2022. Ia tidak mudah kerana dirangka dalam suasana yang begitu getir dan mencabar. Ia menuntut kerajaan negeri untuk mengambil sikap rasional, munasabah dan berpijak di atas bumi yang nyata.
“Namun, sesukar mana pun keadaan yang dihadapi, semangat Belanjawan 2022 ini tetap bertaut kepada matlamat kerajaan negeri untuk memulihkan semula ekonomi tanpa sesekali berkompromi dalam soal tanggungjawab membela kebajikan rakyat yang memerlukan.
“Atas dasar itulah, dana RM47 juta telah disediakan melalui Kumpulan Wang Amanah untuk membiayai Pakej Rangsangan Ekonomi dan boleh dimanfaatkan untuk menampung mana-mana sektor yang memerlukan perhatian,” katanya. – MalaysiaGazette