Seramai 246 keluarga yang terjejas dalam banjit akibat hujan tanpa henti pada hari iini di sekitar daerah Kuala Langat telah berjaya diselamatkan dan dipindahkan ke 14 Pusat pemindahan yang telah diaktifkan polis daerah berkenaan hari setakat 8 malam tadi.-Foto IPD Kuala Langat

KUALA LUMPUR – Beberapa kawasan di daerah Kuala Langat dilanda banjir kilat berikutan hujan berterusan sepanjang hari ini.

Antara kawasan yang terlibat ialah di Kampung Kelanang, Jalan Nangka, Kampung Melayu Telok Bunut, Olak Lempit, Taman Jenjarom Permai, Taman Jarom Mas, Jalan Kebun Baru, Taman Dato Hormat, Telok Mengkuang.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Superintendan, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, pihaknya telah mengaktifkan Bilik Gerakan Bencana bagi menyelaras serta memantau keselamatan awam.

“Keanggotaan yang mencukupi serta kekuatan logistik yang sedia ada juga telah dikerah ke lokasi kejadian bagi memastikan operasi berjalan dengan baik dan terkawal.

“Setakat jam 8.00 malam sebanyak 14 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dikenalpasti dan jumlah terkini keluarga yang dipindahkan seramai 246 dengan jumlah melibatkan 1,073 orang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Penduduk terjejas dipindahkan ke PPS di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan SMK Telok Panglima Garang, Dewan MPKK Banting, SK Sri Lanang, Dewan MPKK Sg Buaya, SK Olak Lempit, SK Seri Cheeding, SK Kebun Baru, SRA Bukit Changgang, SK Labohan Dagang, SK RTB Bukit Changgang, SK Bukit Tadom, Dewan Jenjarom, Dewan Kanchong Tengah dan di Dewan Permatang Pasir.

Ujar beliau, beberapa penutupan jalan utama juga telah dikenalpasti dan dilaksanakan setakat jam 6 petang dan ia hanya boleh dilalui kenderaan berat.

Tambahnya, antara jalan utama yang ditutup ialah Jalan Labohan Dagang-Nilai (Hadapan Genting Sanyen), Jalan Batu 9, Kebun Baru, Jalan Sukepi.

“Polis menasihatkan supaya pengguna tidak melalui jalan tersebut dan menggunakan jalan alternatif lain.

“Polis Daerah Kuala Langat menasihatkan kepada semua penduduk yang terjejas supaya mengunci semua pintu rumah yang ditinggalkan agar tiada berlaku kejadian jenayah sepanjang tempoh rumah ditinggalkan.

“Penduduk juga dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan sentiasa peka dengan keadaan cuaca hujan berterusan dan segera berpindah ke pusat penempatan sementara jika perlu,” katanya.

Sebarang maklumat dan permasalahan berkaitan kejadian banjir boleh disalurkan kepada Pusat Kawalan Daerah di talian 03-31872222/03-31813614. – MalaysiaGazette