Kanak-kanak penduduk Kampung Delek bermain air banjir berikutan hujan lebat berpanjangan bermula dari pagi sehingga lewat malam ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Klang, Selangor. Foto MOHD ADZLAN, 18 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Hujan lebat sejak semalam sehingga berlakunya banjir di beberapa kawasan telah mengakibatkan tiga buah pelabuhan di Pelabuhan Klang dekat sini, mengalami gangguan operasi.

Menerusi satu kenyataan, Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) berkata, hujan lebat dan banjir kilat yang berlaku itu menjejaskan operasi di Pelabuhan Barat, Utara dan Selatan serta operasi gudang dan depoh kontena kosong.

Menurut LPK, lebih memburukkan keadaan apabila kebanyakan kakitangan bagi operasi logistik tidak dapat melaporkan diri ekoran kesukaran perjalanan akibat banjir dan kerosakan jalan masuk ke pelabuhan.

“Oleh itu, pergerakan kontena dan kargo dari pelabuhan dijangka terjejas dan penghantaran akan ditangguh untuk beberapa hari akan datang.

“Kapal-kapal yang berlabuh juga akan ditangguhkan berikutan cuaca buruk yang berlaku,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, LPK berkata, pihaknya akan bekerjasama rapat dengan pemain industri pelabuhan dan logistik bagi mengoptimumkan sumber yang ada dengan memastikan kesinambungan operasi pelabuhan dan logistik.

Jelas kenyataan itu lagi, keutamaan akan diberikan kepada penghantaran barangan keperluan terutamanya makanan, bekalan perubatan dan barangan sejuk beku. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast