Presiden Parti Gerakan Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) tidak bersetuju dengan kenaikan kadar kompaun yang mahu dilaksanakan oleh Kementerian Kesihatan melalui pindaan Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1998 (Akta 342).

Ia bukan sahaja akan membebankan orang perseorangan, malah melibatkan peniaga, kata Presidennya, Senator Datuk Dr. Dominic Lau Hoe Chai.

Beliau berkata, ketika perniagaan, terutamanya perusahaan kecil dan sederhana (PKS) cuba pulih daripada kesan Covid-19, mereka akan terjerat dengan jumlah kompaun
yang sangat tidak logik

“Saya rasa peniaga memang sudah sedia maklum tentang SOP (prosedur operasi standard) dan mematuhinya tetapi, kadang kala kesilapan itu berlaku di luar jangkaan.

“Jangan sampai undang-undang yang tegas ini tidak memberi hasil tetapi banyak kemudaratan daripada kebaikan” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Ahli Jawatankuasa Pusat yang turut diadakan secara virtual, hari ini.

Dominic berkata, beliau mencadangkan agar kerajaan mewujudkan beberapa kaedah sebelum tindakan mengenakan kompaun berjumlah RM1 juta dilaksanakan.

Antara yang boleh dilakukan katanya adalah, pesalah yang melanggar SOP diwajibkan memberi khidmat masyarakat di tempat seperti Pusat Pemberian Vaksin (PPV).

Melalui kaedah itu jelasnya, KKM boleh menambah baik kekurangan tenaga kerja PPV, hukuman boleh dilaksankan tanpa mengira kelas.

“Tidak kira sama ada anda adalah golongan bawahan masyarakat atau CEO sesebuah syarikat, selagi anda melanggar SOP, anda mesti melakukan khidmat masyarakat,” ujarnya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memaklumkan di Dewan Rakyat bahawa cadangan pindaan itu akan memberikan peruntukan kepada KKM untuk menaikkan denda salah laku Akta 342 yang akan dikenakan pada kadar lebih tinggi, sehingga RM100,000 berbanding RM1,000 ketika ini,  manakala syarikat korporat boleh berdepan kompaun sehingga RM2 juta.

Denda tersebut akan dikenakan terhadap mana-mana kesalahan seperti tidak memakai pelitup muka atau kegagalan mengamalkan penjarakan sosial, pelanggaran perintah kuarantin dan terlibat dalam acara yang dilarang membabitkan kehadiran ramai orang serta bersesak di sesuatu kawasan.

Dalam perkembangan lain, Dominic menyokong penuh tindakan tepat kerajaan melaksanakan pelaksanaan umur kelayakan pengundi 18 Tahun dan Pendaftaran Pemilih Secara Automatik (PPSA) pada 1 Januari tahun depan.

Kataya, Gerakan melalui Pemuda akan memberi khidmat pendidikan kepada golongan belia sebagai langkah awal persediaan untuk mengundi antaranya pemeriksaan kad pengenalan, kertas undi dan lokasi undi.

Tambahnya, Gerakan turut mendoakan kesembuhan kepada Pengerusi parti Pejuang Tanahair (Pejuang) Tun Dr. Mahathir Mohammad yang kini sedang menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN). – MalaysiaGazette