Jenazah mangsa-mangsa kemalangan i kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) lewat malam tadi.

SUBANG JAYA – Seorang ibu dan lapan anak merupakan sembilan daripada 10 mangsa yang terkorban dalam nahas membabitkan empat kenderaan di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) USJ, Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) menghala ke Shah Alam lewat malam tadi.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, semua identiti mangsa yang terkorban sudah dikenal pasti.

Semua mangsa anak beranak itu disahkan sebagai Norul Naziah Buyong, 37, anaknya, Muhamad Razarul Amin Abd Razak, 17; Razatul Aliah, 16; Puteri Hidayah, 12; Muhamad Aizat Syazwan, 10; Muhamad Rolkaizat Rezky, 9; Muhamad Hidayat Hakimie, 7; Puteri Nur Ain Syalwana, 3, dan Muhammad Raid Fathi berusia 10 bulan.

Dalam kenyataan di sini, beliau berkata, seorang lagi mangsa yang meninggal dunia ialah Mohamad Rahimi Rolex, 27.

Manakala empat mangsa yang cedera pula Abd Razak Majit, 50, Ihyat Sufi Shokip, 20, Mimie Nafiesa Abdullah, 19, dan Ummi Nasuha Annuwar, 20.

Pemandu lori berusia 45 tahun dan dua anak lelakinya, masing-masing berusia 19 dan 14 tahun tidak mengalami kecederaan.

Tragedi itu membabitkan sebuah treler, dua buah Proton Wira dan Perodua Axia.

Dalam kenyataan awal pagi tadi, Norazam berkata, nahas itu melibatkan 17 orang.

Pihaknya menerima panggilan pada jam 11.42 malam.

Sejurus itu, seramai 12 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dan Puchong dikejarkan ke lokasi kejadian. – MalaysiaGazette