Khaled Nordin
PASIR GUDANG – Pas jangan berdolak-dalik berhubung pendiriannya terhadap Muafakat Nasional (MN).
Sebaliknya, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menegaskan Pas perlu memuktamadkan pendiriannya.
Ini kerana, dakwa beliau, Pas telah bertindak mengelirukan  semasa membuat ketetapan sokongan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, baru-baru ini.
“Jangan di depan cakap lain dan di belakang cakapnya lain. Lihat sahaja ketika (PRN) Melaka,  Pas memaklumkan telah memilih Perikatan Nasional (PN) dan bukannya MN. Ia seolah-olah Pas berpatah balik.
“Jadi adalah lebih baik UMNO bersedia untuk bergerak secara solo sebagai Barisan Nasional (BN) dan berdiri atas kaki sendiri tanpa memusuhi rakan taulan kita daripada Pas di lapangan,” katanya.
Beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Pasir Gudang di Dewan Serbaguna Johor Jaya, Johor Jaya di sini pada Sabtu.
Baru-baru ini Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang dilaporkan menegaskan bahawa gagasan MN yang dimeterai bersama UMNO pada September 2019 masih kukuh.
Bahkan, katanya, tiada perbalahan antara Pas dan UMNO sebagaimana dakwaan sebelum ini.
Khaled yang juga Pengerusi Jawatankuasa Teknikal Kerjasama UMNO-Pas berkata, UMNO juga sedia mengambil risiko untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) tanpa Pas.
Beliau juga yakin, rakyat kini mahukan pembaharuan.
“Soalnya sekarang beranikah UMNO menampilkan muka baharu?,” katanya.
Kata beliau, 87 peratus calon adalah muka baharu yang merupakan satu pembaharuan ditawarkan parti tersebut dan disifatkan sebagai satu keberanian.
“Kita nekad mahu memperkenalkan undang-undang lompat parti. Ini adalah pembaharuan kita.
” Kita bersungguh-sungguh memerangi katak politik. Ini adalah pembaharuan. Malah di Melaka, BN yang lebih menonjol dalam menterjemahkan pembaharuan berbanding PN atau PH,” katanya.-MalaysiaGazette