Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Ringgit dijangka diniagakan dalam jajaran RM4.21 hingga RM4.22 berbanding dolar US minggu hadapan berdasarkan sentimen pasaran yang bercampur-campur, kata seorang ahli ekonomi.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, naratif utamanya tidak berubah ketika ia memasuki minggu baharu, yang mana Rizab Persekutuan akan menjadi penentu kepada usaha pengetatan monetari dalam ekonomi maju.

Minggu hadapan, Indeks Harga Pengguna Malaysia bagi November akan menjadi tumpuan kerana kadar inflasi dijangka meningkat lebih daripada tiga peratus selepas merekodkan kenaikan 2.9 peratus dari tahun ke tahun pada Oktober.

“Ia boleh meningkatkan sentimen kenaikan kadar sebelum ini tetapi mungkin terlalu awal untuk memberitahu memandangkan risiko penurunan masih melebihi potensi terbalik.

“Dengan latar belakang sedemikian, ringgit dijangka diniagakan pada RM4.21 hingga RM4.22 (berbanding dolar US) minggu hadapan,” katanya kepada Bernama.

Sepanjang minggu ini, mata wang tempatan diniagakan kebanyakannya lebih rendah berbanding dolar US selepas pasaran terus mencerna keputusan bank-bank pusat utama minggu ini.

Secara mingguan, ringgit susut berbanding dolar US kepada 4.2190/2210 semasa ditutup semalam daripada 4.2100/2150 yang direkodkan seminggu sebelumnya.

Ia juga merosot berbanding mata wang utama lain.

Ringgit jatuh berbanding dolar Singapura kepada 3.0899/0919 daripada 3.0815/0854 dan turun berbanding euro kepada 4.7805/7828 daripada 4.7497/7554 sebelum ini.

Ia turut melemah berbanding yen Jepun kepada 3.7139/7160 daripada 3.7034/7081 susut berbanding pound British kepada 5.6180/6203 daripada 5.5576/5642. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast