SEBERANG PERAI – UMNO Pulau Pinang memutuskan akan terus menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk mengukuhkan kerajaan manakala Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pula bagi menguatkan parti.
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Pulau Pinang, Datuk Musa Sheikh Fadzir berkata, sokongan itu dinyatakan sebulat suara oleh semua ahli UMNO negeri itu menerusi usul membabitkan 13 bahagian.
Jelas beliau, berhubung soal pilihan raya dan pemilihan UMNO negeri ini akan mengikut keputusan yang ditetapkan Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
“Tiada usul pelik dalam mesyuarat UMNO negeri ini kami lebih utamakan perpaduan dalam parti selain menetapkan keputusan akan terus menyokong Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri dan Zahid Hamidi sebagai Presiden UMNO.
“Bagi isu lain, presiden, timbalan presiden serta naib presiden akan mengadakan perbincangan dengan perdana menteri bila masa sesuai untuk melakukan pilihan raya dan pemilihan.
“Kita orang parti (UMNO) jadi kita kena ikut arahan parti tidak kira apa jawatan yang kita pegang. Kemenangan yang kita peroleh adalah daripada parti jadi arahan parti mesti diutamakan,” katanya selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bukit Mertajam di The Light Hotel di sini, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bukit Mertajam, Fauzi Sharif.
Musa yang juga Ketua UMNO Bahgaian Bukit Mertajam berkata, berdasarkan mesyuarat pihaknya mendapati keseluruhan ahli UMNO negeri ini sudah bangkit semula dalam memastikan arah tuju parti untuk menang dalam Pilihan Raya Umum ke-15. – MalaysiaGazette