Banjir kilat akibat limpahan air sungai dan perparitan berikutan hujan berterusan sejak semalam yang mengakibatkan beberapa jalan sekitar ibu kota ditenggelami air ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette sekitar Kuala Lumpur. Foto HAZROL ZAINAL, 19 DISEMBER 2021.

KUALA LUMPUR – Beberapa lokasi jalan di sekitar ibu kota hari ini masih ditutup dan dilencongkan ekoran hujan lebat dan banjir semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, kerja-kerja pembersihan di jalan-jalan berkenaan sedang giat dijalankan.

Jalan yang masih ditutup akibat banjir dan sedang menjalani kerja pembersihan ialah Jalan Tuanku Sultan Abdul Halim, Jalan Rahmat, Jalan Sentul Manis, Jalan Pahang Barat dan Terowong Tebatan Banjir Bertingkat Smart atau Smart Tunnel, katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menasihati pengguna supaya menggunakan Jalan Tun Razak untuk ke pusat bandar raya.

“Pihak polis ingin menasihatkan kepada pengguna-pengguna jalan raya agar mengelak dari melalui jalan yang terlibat dengan lencongan dan penutupan.

“Sila patuhi arahan anggota Polis yang bertugas bagi memastikan keadaan lalulintas sentiasa lancar dan terkawal,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan ataupun maklumat boleh menghubungi Balai Polis Trafik Jalan Tun H.S.Lee di talian 03 – 2071 9999 atau Hotline JSPT Kuala Lumpur di talian 03 – 20260267/69 atau mana-mana balai polis yang
berhampiran.- MalaysiaGazette